15 DITAHAN CURI KABEL TNB
Berita Jenayah
15 DITAHAN CURI KABEL TNB
KUALA LANGAT: Polis menahan 15 lelaki dan merampas 4.5 tan kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dianggarkan bernilai RM150,000 yang dicuri di beberapa lokasi di Telok Panglima Garang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata pihaknya menerima empat laporan mengenai kecurian kabel TNB sejak beberapa bulan lalu dan hasil risikan mendapati terdapat sebuah premis memproses besi buruk di Telok Panglima Garang yang disyaki membeli kabel berkenaan.
“Serbuan ke lokasi berkenaan, kita berjaya merampas 4.5 tan kabel milik TNB serta menahan pemilik premis dan 14 lelaki iaitu 11 warga tempatan, tiga warga Indonesia, seorang Bangladesh berusia antara 17 hingga 59 tahun.
“Semua kabel yang dirampas dianggarkan bernilai RM150,000 selepas ditaksirkan oleh wakil TNB,” katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, turut dirampas adalah tiga buah lori serta sebuah kren bergerak yang dipercayai digunakan untuk membawa muatan kabel yang dicuri.
Katanya, salah sebuah lori yang dirampas adalah milik syarikat yang dilantik sebagai ‘subcontractor’ kepada TNB dan pihaknya masih menyiasat sama ada syarikat berkenaan masih mempunyai kontrak dengan TNB.
“Difahamkan, suspek memakai rompi milik TNB untuk mengaburi mata orang awam ketika melakukan jenayah itu.
Azizan berkata, kesemua tangkapan ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 55 (b) dan seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 Akta peniaga barang-barang Terpakai 1946.