ZII JIA MARA KE SUKU AKHIR
ZII JIA MARA KE SUKU AKHIR
KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia memperoleh kemenangan percuma untuk melangkah ke suku akhir Terbuka Thailand di Bangkok esok selepas lawannya dari India, Kidambi Srikanth membuat keputusan menarik diri selepas mengalami kecederaan.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam akaun Twitter memberitahu Zii Jia mara ke pusingan lapan terbaik selepas Srikanth yang sebelum ini mengalami isu kesihatan di bahagian hidung menarik diri daripada perlawanan pusingan kedua itu.
Selasa lalu, bekas pemain nombor satu dunia itu mengalami pendarahan di bahagian hidung selepas menjalani beberapa ujian calitan COVID-19 selain turut menyatakan kekecewaannya terhadap layanan pegawai kesihatan kejohanan.
Srikanth ketika itu mendedahkan yang dirinya sudah melakukan empat ujian COVID-19 selepas tiba di Thailand manakala Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyatakan Persatuan Badminton Thailand (BAT) mempunyai alasan mereka tersendiri
. KIDAMBI SRIKANTH
“Kidambi Srikanth mendapati hidungnya berdarah selepas menjalani beberapa ujian COVID-19.
“Atlet berkenaan melakukan ujian calitan sebanyak tiga kali lebih awal dengan yang paling baru mungkin menyebabkan kecederaan,” kata BWF dalam satu kenyataan yang dipetik dari BH Online.
“Oleh itu, ketika ujian calitan dilakukan pada Selasa, selain beberapa faktor daripada atlet, kedudukan (batang calitan) menjadi tidak sejajar dan menyebabkan sedikit pendarahan di hujung sapuan.”
Namun, Srikanth sempat meraih kemenangan di pusingan pertama, menewaskan rakan senegaranya Sourabh Verma 21-12, 21-11 sebelum menarik diri di pusingan kedua bertemu Zii Jia.
Zii Jia, 22, dijadual bertemu sama ada pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito ataupun pilihan kedua kejohanan dari Taiwan, Chou Tien Chen di suku akhir nanti.
Sementara itu rakan seperjuangan Zii Jia, Liew Daren terpaksa akur apabila tewas di tangan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu 21-14, 21-17 dalam perebutan tempat ke suku akhir yang berlangsung 52 minit.