ATM BINA JAMBATAN BAILEY DI KAMPUNG BELIMBING
ATM BINA JAMBATAN BAILEY DI KAMPUNG BELIMBING
MARAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan pembinaan jambatan Bailey Compact 200 sebagai jambatan sementara di Kampung Belimbing, Maran, Pahang, semalam selepas jambatan lama runtuh akibat arus deras sungai pada 3 Januari lalu.
Tentera Darat Malaysia (TDM) menjelaskan, jambatan itu dibina anggota 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 RAJD) dan 2 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 Skn RAJD) yang diatur gerak ke lokasi, semalam.
Katanya, kira-kira 115 pegawai dan anggota TDM diketuai Pegawai Memerintah 91 RAJD, Kolonel Muhammad Zamri Musa terbabit dalam proses pembinaan jambatan sementara itu.
“BH Online melaporkan Jambatan sementara itu kelak akan dapat menghubungkan semula tiga lokasi terjejas iaitu Kampung Serengkam, Sri Makmur dan Sri Jaya dan akan memberikan manfaat kepada lebih 2,600 penduduk yang terjejas.
“Jambatan itu adalah yang kedua dibina TDM di Pahang, selepas jambatan pertama siap dibina di Kampung Lechar, Ulu Dong, Raub pada 9 Januari lalu,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, usaha pembinaan jambatan sementara itu diselaras Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan proses pembinaan dijangka siap sepenuhnya esok.
Dalam pada itu juga, katanya TDM membuat persediaan dan persiapan rapi untuk memberi bantuan kepada kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir.
“TDM sentiasa bersiap sedia dan memantau perkembangan banjir yang melanda serta akan bekerjasama dengan agensi penyelamat di seluruh Malaysia melalui pelaksanaan Op Murni.
“Ini adalah selaras dengan teras Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan ATM serta tonggak perintah ulung Panglima Tentera Darat iaitu meningkatkan kerjasama ATM dan TDM bersama agensi awam dan rakyat,” katanya.