EVO COLOR INOVASI LGM
Berita Nasional
EVO COLOR INOVASI LGM
JERANTUT: Mengambil masa kira-kira empat tahun untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), usaha syarikat Jupiter Solutions dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) menghasilkan peralatan mewarna mesra alam akhirnya berjaya dipasarkan.
Pengarah Urusan syarikat itu, Zamihan Izam berkata, kolaborasi bersama LGM itu juga membuka ruang kepada lebih ramai ahli persatuan Usahawan Bumiputera Industri Getah (UBIG) menceburi bidang perniagaan berteknologi tinggi.
“Produk ini adalah yang pertama di Malaysia dan baharu saja memasuki pasaran… peralatan mewarna ini dihasilkan dengan bahan utamanya ialah susu getah asli dan tidak mengandungi campuran sintetik serta bahan kimia.
“Kelebihannya pula, warna dihasilkan pada lukisan menggunakan kertas atau kanvas (kain) kekal lebih lama, payah untuk pudar dan tidak mudah rosak berbanding menggunakan peralatan mewarna lain.
“Harga pengenalan produk ini juga amat berpatutan… cuma RM19.90 untuk setiap set dan setakat ini kita mengutamakan pemasaran di pusat pengajian tinggi yang mempunyai pelajar jurusan seni lukis,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, terdapat kira-kira 20 usahawan industri getah yang aktif menghasilkan pelbagai jenis produk berkualiti di seluruh negara.
“Mereka ini mendapat bantuan dan kerjasama LGM bagi tujuan R&D… selepas produk berjaya dihasilkan, kita akan terus membantu mereka dengan memberi bimbingan untuk mengkomersialkan produk berkenaan,” katanya.