DONALD TRUMP ISTIHAR DARURAT
DONALD TRUMP ISTIHAR DARURAT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengisytiharkan darurat di Washington DC, menjelang pelantikan rasmi bakal Presiden Joe Biden pada 20 Januari ini.
Menurut kenyataan Rumah Putih, Trump mengumumkan perkara itu semalam, lapor Agensi Berita Sputnik.
“Hari ini (semalam), Presiden Donald J. Trump mengisytiharkan darurat di Washington (District of Columbia) dan memerintahkan Persekutuan membantu gerak kerja susulan Perasmian Presiden ke-59 dari 11 Januari hingga 24 Januari 2021,” kata kenyataan itu.
Semalam, media melaporkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) memberi amaran protes bersenjata sedang dirancang di semua 50 ibu negara Amerika Syarikat (AS), termasuk bangunan Capitol, menjelang pelantikan rasmi Biden.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) diberi kuasa untuk membantu memastikan keselamatan awam dan melindungi harta benda sebagai sebahagian usaha mengurangkan ancaman, menurut kenyataan itu.
Pada 6 Januari lalu, sekumpulan penyokong setia Trump menyerbu bangunan Capitol, bertempur dengan polis dan merosakkan harta benda ketika Kongres sedang bersidang.
Rusuhan itu tercetus selepas Trump mendesak penyokongnya untuk membantah apa yang didakwanya berlaku penipuan dalam pilihan raya.