KING KONG SELAMATKAN MANGSA BANJIR DI LIPIS
KING KONG SELAMATKAN MANGSA BANJIR DI LIPIS
LIPIS : Sepanjang 13 tahun mengendalikan jentera berat dumper truck (lori pembuang) dalam aktiviti perlombongan, tidak pernah terlintas di fikiran Sadri Asreil Sahair khidmatnya diperlukan bagi melombong mangsa banjir.
Sadri Asreil, 35, berkata operasi menyelamat mangsa banjir bermula Isnin lalu selepas polis di Lipis, kira-kira 213 kilometer dari sini, meminta bantuan jentera itu yang kemudian digelar orang ramai sebagai King Kong bagi mengeluarkan mangsa banjir kerana paras air naik mendadak.
Katanya pihak syarikat mengarahkan beliau dan seorang lagi rakan yang turut mengendalikan jentera sama, meninggalkan semua tugasan mereka secara serta-merta dan mengikut pegawai polis berkenaan ke lokasi yang diarahkan.
“Kali pertama saya tiba di kawasan banjir, orang ramai kelihatan tertanya-tanya mengapa saya di situ sebelum menjadi teruja selepas melihat kami mengambil mangsa banjir pertama… dari situ, mereka sedar kedatangan kami ialah untuk membantu.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Operasi menyelamat berlangsung dari 12 tengah hari hingga 7 malam, sebelum kami terpaksa menghentikan operasi atas faktor keselamatan kerana cuaca mulai gelap dan air semakin tinggi,” katanya hari ini.
Anak jati Lipis itu berkata selain menyelamatkan mangsa banjir, khidmat King Kong juga digunakan untuk menghantar bekalan makanan serta kakitangan kesihatan ke lokasi penugasan.
BH Online melaporkan, walaupun semangatnya masih berkobar-kobar untuk membantu, beliau terpaksa akur apabila King Kong masuk bengkel hanya selepas tiga kali perjalanan kerana beberapa komponen enjin dimasuki air dan perlu dibaiki yang dijangka mengambil masa seminggu.
“Walaupun hanya dapat membantu sekejap, perkara ini akan menjadi kenangan seumur hidup. Letih dan penat hilang apabila mendengar ucapan terima kasih. Memandu dalam keadaan banjir juga menguji kemahiran saya kerana tidak tahu apa yang berada dalam air banjir.
“Saya membawa mangsa banjir dan setiap percaturan yang dibuat semasa memandu bukan hanya membabitkan diri sendiri tetapi banyak nyawa menyebabkan saya sering mengingatkan diri supaya tidak gopoh dalam membuat sebarang keputusan,” katanya.
Mengulas mengenai gelaran King Kong, Sadri Asreil berkata julukan itu diberikan orang awam kerana saiz jentera yang besar.
Sadri Asreil mengaku turut terharu dengan kata-kata baik yang diberikan orang awam terhadap bantuan kecil mereka selepas gambar dan video King Kong beraksi membantu mangsa banjir tular menerusi media sosial.