GUNA HELIKOPTER HANTAR BEKALAN MAKANAN
GUNA HELIKOPTER HANTAR BEKALAN MAKANAN
JERANTUT: Perkhidmatan tiga buah helikopter digunakan untuk menghantar baki 600 kampit beras dan bungkusan makanan dalam empat penerbangan di hari ketiga ke lima buah kampung di Hulu Tembeling, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, penghantaran tersebut sebagai rasa prihatin kepada penduduk di kawasan itu yang terputus hubungan sama ada melalui jalan darat atau jalan air.
“Kesan terputus hubungan, mereka (penduduk kampung) turut terputus bekalan makanan, oleh itu jalan paling baik adalah melalui udara ke kawasan pedalaman dengan cepat dan selamat.
“Saya bagi pihak penduduk di kawasan Hulu Tembeling berterima kasih kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menghulurkan bantuan menggunakan aset mereka,” katanya di Padang Bola Sepak Jerantut, hari ini.
Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pegawai Daerah, Khairun Nissa Aris.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pulau Tawar, berharap bekalan makanan itu mencukupi dan digunakan sebaik mungkin kerana cuaca sekarang tidak menentu dan keadaan banjir belum pulih sepenuhnya.
“Hari ini kita menghantar bantuan ke Kampung Kuala Sat, Kg Pagi, Kg Bantal, Kg Gusai dan Kg Mat Daling.
“Tidak lupa kepada anggota JBPM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), urusetia pengurusan bencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua pihak yang terlibat dalam misi bantuan,” katanya.
Beliau berterima kasih kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri yang berusaha untuk menambah kekuatan tentera menggunakan helikopter dalam misi penghantaran bantuan kepada mangsa.
Sebelum itu, beliau turut menyewa sebuah helikopter untuk penghantaran bekalan makanan ke Kampung Bukit Nikmat dan kawasan Tembeling Tengah.