1,110 BUNGKUSAN DIHANTAR GUNA HELIKOPTER
1,110 BUNGKUSAN DIHANTAR GUNA HELIKOPTER
JERANTUT: Sebanyak 1,110 bungkus barangan keperluan harian dan 1,110 kampit beras diagihkan ke mangsa banjir di kawasan yang dilanda musibah terutama di kawasan Hulu Tembeling dan Tembeling Tengah yang terputus hubungan, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Nazri Ngah berkata, penghantaran itu sangat diperlukan kerana dilaporkan penduduk di kawasan itu terputus bekalan makanan dan bantuan tidak boleh dihantar secara jalan darat kerana banyak tempat di laluan tersebut ditenggelami air.
“Pihak pengurusan banjir daerah mengguna pelbagai kaedah seperti menggunakan perkhidmatan helikopter, kenderaan pelbagai guna jenis Amfibia jenis Sealegs dan trak operasi bencana yang boleh meredah air milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Selain itu, bantuan daripada helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Tentera turut digunakan untuk penghantaran bantuan ke kawasan hulu,”katanya ditemui di sini, pagi ini.
Katanya, bantuan dihantar ke Kampung (Kg) Bantal 146 bungkusan, Kg Sat (146), Kg Pagi (70), Kg Gusai (70), Mat Daling (130), Kg Kuching (56), Kg Ulu Sat (34) dan Kg Kuala Tahan 458 bungkus.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Abdul Razak Daud berkata, penghantaran hari ini menggunakan helikopter JBPM dan ATM bagi menyampaikan bantuan segera penduduk di kawasan Hulu Tembeling.
“Semalam penghantaran mengguna helikopter swasta bersaiz kecil turut tergendala kerana keadaan cuaca buruk,” katanya.