PN TERUSKAN LEGASI PH
PN TERUSKAN LEGASI PH
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak memperbetulkan propaganda jahat kerajaan terdahulu telah menyebabkan UMNO tawar hati untuk terus menjalinkan kerjasama dengan pakatan itu.
Perkara ini diakui oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa kes-kes mahkamah yang disabitkan ke atas pemimpin parti itu adalah berpunca daripada ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi hantaran FACEBOOK miliknya, Najib tampil mempertahankan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mendakwa salah satu sebab utama UMNO tidak puas hati dengan PN adalah kerana tindakan meneruskan kes mahkamah terhadap UMNO dan para pemimpinnya.
GAMBAR HIASAN
Malah bekas Presiden UMNO itu menyifatkan kenyataan Ahmad itu telah diputarbelitkan oleh kawan dan lawan UMNO.
“Saya tengok ramai (termasuk pemimpin UMNO) tertentu yang sengaja putar belit video ini untuk fitnah SUA UMNO bahawa antara sebab kenapa UMNO tak puas hati dengan kerajaan PN ialah kes-kes pemimpin UMNO tidak ditarik balik
“Cuba tonton video Ahmad Maslan ini sepenuhnya dan dengar betul-betul apa yang dia cakap
“Dia kata ketidakadilan perundangan dan salahguna kuasa kerajaan semasa gagalkrasi PH bawah Mahathir tidak diperbetulkan oleh kerajaan PN,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian susulan kenyataan Ahmad dalam satu wawancara di Facebook Nadi Rakyat baru-baru ini.
SETIAUSAHA AGUNG UMNO & BN, DATUK AHMAD MASLAN
Mengulas lanjut, kecuali kes mahkamah melibatkannya, Najib mempersoalkan mengapa bekas pemimpin UMNO yang melompat kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terlepas didakwa di mahkamah, sedangkan para pemimpin UMNO sebaliknya.
“Dia (Ahmad Maslan) tidak merujuk kes-kes saya atau mana-mana kes pemimpin UMNO tapi merujuk secara spesifik kepada 121 kes lucut hak serta kompaun melibatkan 41 pihak yang disita dan 80 orang yang dikompaun.
“Kesemua melibatkan wang yang dibayar oleh saya sebelum PRU14.
“Kena tanya kenapa 80 pihak dikenakan notis sitaan dan 41 lagi didakwa dan dikompaun sehingga berpuluh kali ganda jumlah wang yang dibayar saya sedangkan ianya melibatkan isu yang sama iaitu menerima bayaran dari saya.
“Adakah ianya adil untuk sebahagian dikenakan sitaan sahaja dan ada pula yang didakwa AMLA dengan kompaun yang besar?,” katanya.
Najib juga berkata, Ahmad juga berhak bersuara menentang propaganda jahat PH yang masih diteruskan PN untuk menekan UMNO.
“Mas Ermieyati dan Tok Pa menerima dana politik dari saya tapi mereka tidak diambil tindakan setelah lompat keluar UMNO dan dilantik menjadi menteri penuh pula.
“Ahmad Maslan dan Shahrir Samad juga menerima dana politik dari saya dan mereka pula diambil tindakan mahkamah sebab kekal dengan UMNO dan menjadi orang kena tuduh dalam mahkamah pula.
“Adakah ini adil? Patutkah Ahmad Maslan membisu sahaja dan tidak mengadu?,” katanya, dipetik dari MALAYSIAPOST.
Najib juga menyenaraikan kes-kes mahkamah yang melibatkan pemimpin PH telah dilepaskan sebaik sahaja mereka berkuasa menjadi kerajaan pada Mei 2018.
Malah Najib juga mendakwa PH telah meletak orangnya pada jawatan-jawatan penting untuk mendakwa dirinya dan para pemimpin UMNO dengan pertuduhan di mahkamah.
“Ianya memang adalah kenyataan bahawa kerajaan PH telah salahgunakan kuasa kerajaan untuk kenakan pemimpin-pemimpin UMNO.
“Peguam Guan Eng dilantik dari pihak swasta untuk menjadi peguam negara. Pemimpin PH dilantik menjadi boss SPRM. Penyokong tegar Warisan dilantik Ketua Hakim Negara dan berkempen kuat dengan Guan Eng atas pentas ceramah untuk PH,” katanya.
Najib juga menyelar kerajaan PN kerana tidak memperbetulkan ketidakadilan ini selepas mengambil tampuk pemerintahan negara sejak Februari tahun lalu.
Malah, Najib juga mempersoalkan beberapa kes mahkamah yang mempunyai kaitan dengan pemimpin PH tidak didakwa semula dan dilepaskan begitu sahaja.
GAMBAR HIASAN
“Nak nafikan tiada salahguna dan manipulasi sistem perundangan Malaysia lagi? Cuba tengok apa akan terjadi jika ketiga-tiga lantikan ini berlaku di negara lain dalam dunia?
“Akibatnya rata-rata kes melibatkan pemimpin PH digugurkan atau ditarik balik seperti kes banglo Guan Eng, laporan polis RCI BNM Forex, kes LTTE melibatkan wakil-wakil rakyat DAP dan banyak lagi.
“Kes-kes lain tidak pula didakwa seperti komik propaganda komunis DAP, kes hotel Sandakan, kes Zahid Mat Arip kirim salam dan terima duit dalam kes FELDA investment, kes rasuah air Sabah Shafie Apdal dan lain-lain.
“Dalam kes melibatkan pemimpin Umno pula, ada pegawai yang telah mengaku dalam mahkamah bahawa mereka menerima rasuah dan ada juga mengaku ada pemalsuan surat arahan bank tapi kesemuanya tidak didakwa atau dakwaan ditarik balik dan dijadikan saksi untuk mengenakan kita pula.
“Namun tiada satu kes tersebut didakwa atau didakwa semula. Kenapa ketidakadilan ini tidak diperbetukan selepas kerajaan PN ambil alih,” katanya.
Sebelum ini, UMNO dijangka akan memuktamadkan hubungannya dengan kerajaan PN pada Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung hujung bulan ini.