DATUK SERI LIOW SOON HEE DERMA RM10,000 SEBULAN
Berita Kehidupan
DERMA RM10,000 SEBULAN UNTUK KEBAJIKAN
KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan dana dan pelaburan, World Dynasty Group (WDG) mengumumkan komitmen untuk menyumbang RM10,000 setiap bulan kepada Pusat Kanak-kanak Cacat dan Orang Kurang Upaya (OKU) Melaka.
Pengerusi dan Pengasas WDG, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee berkata, komitmen itu adalah kesinambungan kepada sumbangan diberikan syarikat berkenaan kepada pusat itu sejak tahun 2016.
“Kali pertama saya mengunjungi pusat ini bersama Datuk John Lee dan Francis Tan pada bulan April 2016 dan sejak itu kami banyak menyalurkan sumbangan kepada pengendali pusat berkenaan.
“Sebagai seorang bapa yang mempunyai tiga orang anak, saya sangat tersentuh apabila melihat sendiri kesukaran dihadapi penghuni pusat kebajikan ini menjalani kehidupan harian mereka dalam serba kekurangan.
“Sejak 2016, WDG juga sudah menyumbang kira-kira RM530,000 kepada mereka (Pusat Kebajikan Kanak-kanak Cacat dan OKU) di sini (Melaka)… saya juga ingin memaklumkan bahawa saya sedia menyumbang RM10,000 sebulan kepada pusat ini, selagi saya masih hidup,” katanya yang turut dikenali sebagai antara Dermawan Termuda di Malaysia, dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sumbangan disampaikan Datuk Seri Eric Ng dan Datuk Lee Kim Tian, mewakili WDG dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia.
Sementara itu, penjaga pusat terbabit, M Thomas berkata, pengumuman dibuat Datuk Seri Nicky itu sangat melegakan pihaknya yang sering berdepan kekurangan dana untuk menguruskan pusat berkenaan.
“Kos operasi pusat ini agak tinggi dan sudah pasti sumbangan beliau sangat membantu meringankan bebanan kami tanggung.
“Pusat ini beroperasi sejak tahun 2002 dan diasaskan Mendiang V Rajamanikam, yang meninggal dunia Julai lalu.. buat masa ini, kita ada dua cawangan, satu Johor dan satu lagi di sini (Melaka).
“Seramai 54 kanak-kanak dan OKU daripada pelbagai peringkat umur ditempatkan di sini dan mereka memerlukan penjagaan khas kerana mengidap penyakit seperti down syndrome, Serebrum Palsy, hyperactive, autisme dan ada juga yang pernah menjadi mangsa dera,” katanya.
Thomas berkata, selain menyediakan kemudahan tempat tinggal dan makanan kepada kanak-kanak itu, pihaknya turut memberikan akses kepada pendidikan dan bidang kemahiran bersesuaian kepada penghuni pusat itu.