ELAK AKTIVITI PESISIR PANTAI
ELAK AKTIVITI PESISIR PANTAI: FENOMENA AIR PASANG ANCAM KESELAMATAN PENGUNJUNG
KUALA NERUS: Jangan jadikan kawasan pantai sebagai tapak ‘pesta’ untuk bersantai melihat fenomena air pasang besar dan mengambil swafoto (selfie).
Ombak kuat dan angin kencang yang melanda pantai di negeri Terengganu ini dikhuatiri boleh mengancam keselamatan pengunjung.
GAMBAR HIASAN
Itu antara amaran daripada Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din kepada orang ramai yang masih mendekati kawasan pantai khususnya di Pantai Seberang Takir atau lebih dikenali dengan nama Pantai Miami.
Susulan itu, pihaknya telah meningkatkan kawalan dan pemantauan di lokasi pantai tumpuan ramai di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Memetik laporan ASTRO AWANI, selain rondaan, laluan dari arah Pantai Teluk Ketapang ke Jambatan Angkat turut ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula Jumaat hingga Ahad ini.
“Orang ramai dinasihatkan tidak menjadikan fenomena ni sebagai satu pesta keluar beramai-ramai untuk melihat keadaan ombak besar yang boleh membahayakan diri mereka.
“Pihak polis akan membuat pemantuan rondaan di kawasan ini 24 jam sehingga keadaan cuaca telah kembali reda dan keadaan baik,” ujar beliau.
Abdul Rahim berkata, jika masih ada individu yang ingkar dan berterusan menghampiri kawasan pantai, pihaknya akan mengambil tindakan mengikut undang-undang yang bersesuaian seperti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
GAMBAR HIASAN
Fenomena air pasang besar yang melanda Terengganu membuatkan orang ramai turut mengambil kesempatan untuk menyaksikannya secara dekat khususnya di Pantai Seberang Takir.
Ombak besar berketinggian lebih dua meter beserta angin kencang telah menyebabkan limpahan air laut sehingga ke atas jalan raya.