DAKWAAN ANWAR MILIKI MAJORITI TAK BERASAS
Berita Politik
DAKWAAN ANWAR MILIKI MAJORITI TAK BERASAS
KUALA LUMPUR: Semua gabungan parti yang bekerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyangkal dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.
Malah, enam gabungan parti itu juga menyatakan pendirian berdiri teguh menyokong kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sokongan itu dinyatakan melalui satu kenyataan bersama oleh enam Setiausaha Agung daripada Barisan Nasional (BN) diwakili Tan Sri Annuar Musa, BERSATU (Datuk Seri Hamzah Zainuddin), PAS (Datuk Takiyuddin Hassan), GPS (Datuk Alexander Nanta Linggi), PBS (Datuk Jahid Jahim) dan STAR (Guan Dee Kohoi).
Dalam kenyataan itu, mereka mendakwa kenyataan Anwar itu tidak lebih sebagai ulangan untuk meraih publisiti murahan seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Tindakan terbaru beliau (Anwar) menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19.
“Kita yakin rakyat akan bangkit menolak politik sebegini, malah akan bersama-sama menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat,” katanya seperti dilaporkan Metro Online.