ISTANA NEGARA SAHKAN MAJLIS TERIMA MENGHADAP ANWAR
Berita Nasional
ISTANA NEGARA SAHKAN MAJLIS TERIMA MENGHADAP ANWAR
KUALA LUMPUR: Istana Negara mengesahkan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Ismail diterima untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada hari Selasa lalu.
Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, majlis itu bagaimanapun ditangguhkan susulan kegeringan Seri Paduka yang terpaksa dirawat di Institut Jantung Negara.
“Ketika ini, Al-Sultan Abdullah akan terus menjalani rawatan di bawah pengawasan para pakar perubatan di Institut Jantung Negara.
“Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Daim Zainuddin, para jemaah Kabinet dan individu-individu, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda.
“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana negara masih menghadapi ancaman penularan wabak COVID-19,” kata Ahmad Fadil seperti dilaporkan *Malaysiakini”.
Beliau berkata, Seri Paduka turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi daripada segala bentuk ancaman dan dikurniakan kemakmuran berpanjangan.
Awal hari ini, Anwar, yang juga adalah Ketua Pembangkang, mengadakan sidang media mengumumkan bahawa beliau mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sudah diperkenankan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, tetapi majlis itu ditangguhkan susulan kegeringan Al-Sultan Abdullah.