HADIAH ISTIMEWA TAHUN BAHARU
HADIAH ISTIMEWA TAHUN BAHARU: WARGA EMAS TERIMA KUNCI RRP
KUANTAN: Seorang warga emas menerima hadiah tahun baharu paling bermakna apabila kerja pembinaan projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) siap sepenuhnya lebih awal dari tempoh ditetapkan dan menerima kunci rumah berkenaan petang semalam.
Ngah Ismail, 87, yang hidup bersendirian sejak kira-kira 30 tahun lalu di Kampung Beserah Pantai, dekat sini, kini boleh menjalani kehidupan lebih selesa di rumah berkenaan, hasil inisiatif kerajaan Pahang yang memperkenalkan program RRP bagi rakyat negeri ini yang layak.
Beliau yang tidak pernah mendirikan rumah tangga dan sebelum ini bekerja sebagai nelayan, menerima bantuan bulanan daripada agensi berkaitan bagi menampung keperluan hariannya.
ADUN BESERAH, ANDANSURA RABU (KIRI) BERSAMA PENERIMA PROGRAM RUMAH RAKYAT PAHANG (RRP) NGAH ISMAIL (TENGAH) KETIKA PENYERAHAN KUNCI DI KAMPUNG BESERAH PANTAI, DEKAT KUANTAN
“Saya memang bersyukur sangat apabila dipilih menerima RRP memandangkan keadaan rumah sebelum ini sudah sangat uzur… kayu lantai pun sudah reput dan memang menunggu masa untuk runtuh.
“Jadi, apabila dimaklumkan oleh ahli dewan undangan negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu mengenai perkara ini (terpilih menerima RRP), saya sangat gembira dan berterima kasih kepada kerajaan Pahang,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan kunci RRP oleh Andansura dan wakil kerajaan negeri.
Sementara itu, Andansura berkata, kawasan dewan undangan negeri (DUN) Beserah menerima tiga projek RRP sepanjang tahun ini dan dua daripadanya sudah siap dan diserahkan kepada penerima, manakala satu lagi dijangka dapat disiapkan awal tahun depan.
“Inisiatif RRP ini diperkenalkan bagi membantu mereka berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.
“Nilai bagi setiap unit RRP adalah RM65,000 dan ditanggung sepenuhnya kerajaan Pahang dengan syarat utama ialah penerima memiliki tanah sendiri.
“Dalam kawasan DUN Beserah kita ada tiga program RRP di Kampung Beserah Pantai, Kampung Cherating dan Kampung Alor Batu, dekat Jabor,” katanya.