MAYAT MEKANIK LEMAS DITEMUI TERDAMPAR DI ATAS BATU
MAYAT MEKANIK LEMAS DITEMUI: TERDAMPAR ATAS BATU KIRA-KIRA 5 KM DARI LOKASI DILAPOR HILANG
BENTONG : Mayat Tan Kok Meng, 59 tahun yang jatuh di Sungai Benus yang berada di belakang bangunan Pusat Servis Perodua dekat sini, pada petang Isnin lalu ditemui oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) kira-kira 5 kilometer dari lokasi kejadian pada jam 11.20 pagi ini.
Mayat mangsa seorang mekanik lori ditemui terdampar di atas batu tepi sungai kira-kira 200 meter dari jambatan Acacia.
Komander operasi Balai Bomba Bentong, Rosdi Mustafa berkata, SAR menggunakan kaedah pencarian di permukaan air (Water Surface Searching) mengguna bot pagi ini.
“Pengecaman mayat dibuat oleh anggota PDRM, BOMBA dan APM (Team 2) berdasarkan keadaan mayat itu, tiada sebarang kecederaan dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Bentong, untuk laporan bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Supritenden Zaiham Mohd Kahar yang berada di lokasi berkata kejadian berlaku ketika mangsa turun ke sungai bersama tali untuk mengikat tali ke pokok di seberang sungai untuk tujuan menggerakkan jentera sedut pasir ke bahagian tengah sungai dan dihanyutkan air deras.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat termasuk penduduk berdekatan yang memberi bantuan dan kerjasama dalam usaha mencari mangsa lemas.
“Dengan penemuan mayat ini, operasi SAR membabitkan lelaki yang dilaporkan lemas di Sungai Benus, ditamatkan pada 1.00 tengahari pada hari ini,”katanya.