MUAT NAIK STATUS SEBELUM DIBUNUH
MUAT NAIK STATUS SEBELUM DIBUNUH: GADIS MALANG SEOLAH TAHU BAKAL JADI MANGSA
JAKARTA: Seakan-akan tahu ajalnya semakin menghampiri, seorang gadis dari Asahan, Sumatera Utara telah memuat naik status tentang kematian di laman sosial sebelum dilaporkan mati dibunuh dalam satu kejadian rogol pada 23 Disember di Klang, Selangor, Malaysia.
Lapor Tribunnews, mangsa Lisa Sirait, 14, memuat naik status bertulis, “Aku akan dipinang malaikat maut, aku akan dibawa oleh malaikat maut, aku dipinang dengan kain putih”.
Perkara itu dimaklumkan oleh ibu mangsa, Sri Dewi, 41, yang masih terkejut pemergian anak kelima itu.
“Saya baru tahu dan terkejut Lisa ada memuat naik status dalam media sosial menyatakan dirinya akan ‘dipinang malaikat maut’.
“Memang sedih, kebiasaannya dia setiap hari akan hubungi saya. Tetapi waktu kejadian, saya tidak menerima panggilan dan berasa tidak sedap hati,” katanya seperti dilaporkan SINAR HARIAN.
Sri beritahu Lisa pergi ke Malaysia untuk mengikut kakaknya, Dinda Sirait yang bekerja di sana.
SRI MENUNJUKKAN RAKAMAN STATUS MANGSA KETIKA DITEMUI WARTAWAN/SINAR HARIAN
Si ibu juga memberitahu, sebelum berangkat ke Malaysia, Lisa ada membuat video di aplikasi TikTok yang dianggap sebagai video perpisahan.
“Saya ada tonton video itu, Lisa sempat mengatakan, syukur memiliki seorang ibu seperti saya. Ibarat video itu seperti perpisahan kepada kami,” ujarnya lagi.
Terdahulu, seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan separuh bogel dipercayai dibunuh di sebuah rumah kedai di Taman Seri Andalas, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 2.05 petang.
Mayat ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik di tingkat satu rumah kedai.
Suspek kini sudah ditahan polis untuk disoal siasatan berhubung kejadian itu.