100 ARTIS VETERAN DIBANTU
100 ARTIS VETERAN DIBANTU
KUALA LUMPUR: Berpegang prinsip tiada golongan tersisih daripada bantuan kerajaan dalam berdepan pandemik COVID-19, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengagihkan bantuan kepada 100 artis veteran.
Program penyerahan bantuan hasil inisiatif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di Dewan Perdana Nur, KPWKM di Putrajaya, semalam, mengagihkan barangan keperluan harian, makanan, ubat-ubatan, fabrik dan wang kepada penerima.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata elemen seni dan tenaga penggeraknya selama ini menjadi suatu bentuk terapi kepada setiap insan.
“Sejajar prinsip tiada yang ketinggalan menikmati kemudahan kerajaan selain memahami artis veteran terjejas akibat pandemik COVID-19, kementerian bersetuju menyampaikan bantuan berupa makanan dan wang tunai sumbangan Yayasan Kebajikan Negara kepada ahli PKAVM.
“Saya dimaklumkan penerima adalah pelakon, penyanyi, pelawak dan pemuzik. Ada dalam kalangan mereka hilang punca pendapatan kerana tidak berupaya memenuhi undangan seperti tawaran berlakon dan menyanyi akibat COVID-19 selain faktor kesihatan,” katanya pada majlis penyerahan bantuan itu, semalam.
Rina berkata, kementerian berminat menjalin kerjasama strategik dengan PKAVM untuk menganjurkan program demi manfaat ahli.
“Semua artis veteran yang hadir ini pernah mewarnai industri seni. Menghiburkan kami di kala suka dan duka serta menceriakan hari kami melalui kaca televisyen (TV) dan radio dengan karya serta bakat masing-masing.
“Jadi, tiba masanya, kementerian menceriakan hari mereka.
“Disebabkan artis adalah figura dan personaliti yang sangat dekat dengan rakyat, kementerian berhasrat menjalin kerjasama erat dengan persatuan terutama dalam membantu penyampaian perkhidmatan KPWKM kepada rakyat,” katanya.
Rina berkata, pelbagai aktiviti boleh dirancang antara PKAWM melalui pembabitan artis veteran dalam Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).
“Sehingga kini, ada 143 PAWE di seluruh negara. Saya percaya pembabitan artis veteran memantapkan lagi pelaksanaan PAWE dan mampu menarik lebih ramai lagi warga emas menyertainya,” katanya.
Rina juga mengalukan ahli PKAVM menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ KPWKM melalui aktiviti sukarelawan JKM.
“Ini selari dengan pelaksanaan Kembara Prihatin Negara (KPN) 2020 yang berkonsepkan turun padang membantu mereka yang memerlukan. Kita sasar seramai sejuta rakyat bakal menerima manfaat daripada pelbagai aktiviti.
“Ahli PKAVM boleh bertindak menyalurkan maklumat kepada JKM atau mana-mana agensi di bawah kementerian jika tahu ada pihak yang memerlukan bantuan,” katanya.
BH Online melaporkan , Presiden PKAVM, Datuk Tomiran Mohd Kasdi, berkata pandemik COVID-19 memberi kesan kepada artis veteran yang terjejas pendapatan.
“Ada dalam kalangan mereka bergantung dengan lakonan semata-mata. Tawaran lakonan tidak ‘sekencang’ dahulu.
“Alhamdulillah, melalui usaha ahli jawatankuasa penyelaras PKAVM yang bertemu dengan JKM, ada sinar datang termasuk kerjasama lain pada masa depan,” katanya.
Tomiran berharap artis veteran usah dipinggirkan.
“Selama ini, artis veteran ini mewarnai persada seni. Malah, ada antara mereka terus kental berjuang di liga seni.
“Mereka berlakon atau menyanyi bukan untuk mengejar populariti. Sebaliknya, demi kelangsungan hidup,” katanya.
Sementara itu, penyanyi era 1960-an, Datuk Jeffrydin, 75, bersyukur kerajaan, kementerian dan persatuan anak seni tidak melupakan artis lama.
“Kecil atau besar sumbangan tetap bermakna bagi artis veteran. Apatah lagi senario semasa pandemik COVID-19 ramai yang terjejas dan putus rezeki.
“Artis veteran meningkat usia dan tidak boleh aktif macam dahulu. Namun, minat mereka terhadap dunia seni tidak pernah berkubur,” katanya.
Mak Jah, 72, atau nama penuh, Maimunah Ahmad menganggap diri bertuah kerana masih mendapat perhatian dan dihargai.
“Kami tidak ramai… Nasi pun makan sedikit sahaja. Jadi, kecil atau besar sumbangan tetap bermakna.
“Alhamdulillah, saya masih meneruskan kelangsungan hidup dengan berlakon dan penyakit kanser rahim saya semakin pulih,” katanya.
Selain Mak Jah, antara artis veteran yang menerima bantuan adalah Hamid Gurkha, Hamidah Wahab, Wan Maimunah, Razak Ahmad dan Sofia Ibrahim.