TRUMP RANCANG TUNJUK PERASAAN
TRUMP RANCANG TUNJUK PERASAAN: TEKAN KONGRES BATAL KEMENANGAN BIDEN
WASHINGTON: Presiden Donald Trump menggesa penyokongnya berkumpul di sini pada 6 Januari ini untuk mengadakan demonstrasi terakhir bagi menekan Kongres supaya tidak mengesahkan kemenangan Joe Biden pada pilihan raya.
Ribuan penyokong dari seluruh negara, seperti kumpulan Women for America First, StoptheSteal dan kumpulan Proud Boys yang agresif dijangka turun ke ibu negara Amerika Syarikat (AS) menyokong tuntutan Trump mengenai penipuan pengundian besar-besaran yang menyebabkan kekalahannya dalam pilihan raya pada 3 November lalu.
Trump dalam dua mesej di Twitternya hujung minggu lalu menggesa penyokong untuk hadir berkumpul menolak pilihan raya.
“SCAM terbesar dalam sejarah negara. Semoga bertemu di Washington, pada 6 Januari ini. Jangan ketinggalan,” katanya kelmarin.
Perhimpunan itu menimbulkan kebimbangan mengenai keganasan selepas penunjuk perasaan pro-Trump, Proud Boys pada 12 Disember lalu bertindak ganas menyebabkan beberapa orang ditikam dan puluhan ditangkap.
Trump masih berharap kumpulan penunjuk perasaan itu dapat menekan Kongres untuk menolak keputusan pilihan raya yang menyaksikan kekalahannya.
“Kita sebagai rakyat mesti ‘turun’ di ibu negara AS untuk memberitahu Kongres perkara ini dan gunakan tanda pagar #DoNotCertify, dan #StopTheSteal dalam kempen bantahan di media sosial.
“Kongres tidak boleh mengesahkan keputusan pilihan raya yang palsu ini,” katanya.
Pada 6 Januari ini, Naib Presiden Mike Pence mengemukakan usul ke Kongres bagi mengesahkan keputusan pilihan raya yang dikemukakan oleh setiap negeri, yang mewakili hasil undian popular.
Dalam sesi bersama Dewan Perwakilan Rakyat dan Senat, Pence akan membuka dan membaca sijil yang melaporkan jumlah pemilih dari setiap negeri, dan kemudian mengumumkan pemenangnya.
Proses itu seharusnya berjalan seperti biasanya, sebagai formaliti.
Calon Demokrat, Joe Biden menang di 306 kawasan, manakala Trump selaku calon Republikan hanya menang di 232 kawasan.
Sebelum ini, Trump mencabar keputusan pilihan raya itu di mahkamah di beberapa negeri, namun hakim menyatakan tidak ada bukti yang menunjukkan penipuan.
Bagaimanapun, keputusan pilihan raya akan tergantung jika kedua-dua dewan berkenaan mengemukakan bantahan rasmi terhadap laporan keputusan mana-mana negeri.
Perwakilan Alabama, Mo Brooks memberitahu Fox News semalam bahawa dia mendapat sokongan ‘puluhan’ anggota parlimen untuk secara rasmi mencabar tuduhan itu.
Sementara itu, Trump dan penyokong telah menekan Pence untuk menolak keputusan pengesahan kemenangan yang pro-Biden, namun pakar undang-undang menyatakan Pence tidak memiliki kuasa untuk berbuat demikian.
Anggota Kongres Republikan, Adam Kinzinger Ahad lalu menyatakan bahawa tindakan itu hanyalah usaha ‘anggota Kongres dan presiden’ untuk mengumpulkan wang.
“Ini adalah penipuan dan akan mengecewakan orang yang percaya pilihan raya ini palsu,” katanya kepada CNN.