BERMOTOSIKAL 200KM DEMI SUAMI TERCINTA
LIPIS: Seorang suri rumah nekad menunggang motosikal seorang diri lebih dari 200 kilometer dari Kampung Kemahang, Benta ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada Rabu untuk melihat suaminya yang kini terlantar di hospital berkenaan.
Rohaizan Rozama, 41, mengambil risiko tersebut demi suaminya, Razali Ismail, 45 yang dimasukkan ke HTAA sejak 12 Disember lalu bagi mendapatkan rawatan akibat penyakit kanser perut dan otak yang kini telah memasuki tahap empat.
“Semalam (Rabu) saya mendapat panggilan dari pihak hospital yang memaklumkan suami akan menjalani imbasan magnetik resonan (MRI). Jadi perlu melihat keadaan dia (suami) di sana dan saya nekad menunggang motosikal seorang diri kerana tak mahu susahkan sesiapa.
“Memang kami ada kereta tetapi apabila memikirkan keadaannya yang sudah uzur selain masalah parkir di hospital buatkan saya terfikir untuk menunggang motosikal sahaja. Saya mulakan perjalanan kira-kira jam 6.15 petang dan sampai ke HTAA kira-kira jam 12 tengah malam tadi,” katanya kepada SINAR HARIAN pada Khamis.
Dalam pada itu, Rohaizan mengakui gembira dan bersyukur kerana perjalanannya hampir enam jam untuk menemui suaminya lancar tanpa sebarang masalah.
Katanya, walaupun ada terdetik perasaan takut sepanjang perjalanan itu, namun menguatkan semangat untuk sampai ke destinasi dan bertemu suaminya.
Menceritakan penyakit yang dihadapi suaminya itu, ibu kepada dua cahaya mata yang berusia tujuh dan tiga tahun itu berkata, penyakit yang dihidapi suaminya itu hanya diketahui selepas mendapatkan rawatan di hospital kerana sering mengadu sakit perut.
Katanya, suaminya yang bekerja kontrak sebagai tukang rumah itu telah menanggung penyakit tersebut sejak tujuh tahun lalu, namun enggan mendapatkan rawatan di hospital sebaliknya hanya bergantung kepada ubat tahan sakit sejak sekian lama.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan dan meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (162012858359) atas nama Rohaizan Binti Rozama atau menghubunginya di talian +60 17-962 2679.