TEKONG VIETNAM DIDAKWA RASUAH
KUANTAN: Seorang tekong bot nelayan warga Vietnam didakwa rasuah di Mahkamah Seksyen Kuantan dekat sini, hari ini.
Tertuduh, Tran Van Minh, 42 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Memetik laporan SINAR HARIAN, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin.
Mengikut kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Vietnam, tertuduh didakwa menawarkan suapan RM2,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas diri dan 20 awak-awaknya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan di lokasi 83 batu nautika tenggara Kuala Kuantan, kira-kira jam 8.39 pagi, 12 Disember lalu kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh perairan negara.
Bagi kesalahan itu, tertuduh diwakili peguam, Mohammad Suhaimi Ismail didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana jumlah lebih tinggi.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.