AKTIVITI BERBASIKAL DILARANG DI SEMUA LEBUH RAYA
Berita Nasional
AKTIVITI BERBASIKAL DILARANG DI SEMUA LEBUH RAYA
KUALA LUMPUR: Aktiviti berbasikal dilarang di lebuh raya seluruh negara, namun masih dibenarkan di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Bandaran dan lain-lain jalan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, menasihati semua penunggang basikal sentiasa mematuhi arahan ditetapkan.
“Mana-mana individu gagal mematuhi papan tanda lalu lintas melarang berbasikal di lebuh raya, boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000, jika sabit kesalahan.
“Mereka yang melanggar arahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Azisman berkata, semua penunggang basikal perlu sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya demi menjamin keselamatan diri mereka serta pengguna lain.