PPS SK TEH BEROPERASI
DUA KELUARGA , 13 ORANG DITEMPATKAN DI PPS ITU SEJAK PAGI INI
JERANTUT: Pusat Perpindahan Sementara (PPS) telah mula dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Teh dengan dua keluarga seramai 13 orang yang mula beroperasi sejak jam 10.30 pagi tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, semoga segala usaha menyelamat berjalan lancar dan berdoa agar cuaca musim tengkujuh segera reda dan berakhir.
“Diharapkan semua penduduk dalam kawasan DUN Tahan dan berada di kawasan rendah dan berisiko sentiasa peka dan mengikut arahan pihak berkuasa untuk berpindah sekira diarahkan.
“Manakala di kawasan hulu, paras air menunjukkan trend menurun terutama di Kampung Bantal, tetapi penduduk di situ dan di sepanjang pesisir sungai Tembeling diminta sentiasa berwaspada sekiranya hujan masih berterusan,” katanya ketika meninjau PPS SK Teh, petang ini.
Katanya, setakat hari ini belum ada berlaku perpindahan mangsa banjir ke PPS di sana tetapi semua penduduk dan Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) sentiasa bersiap sedia.
Beliau turut berterima kasih kepada Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Di Raja Malaysia Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah dan semua pihak yang terlibat dalam pengurusan mangsa banjir.
“Sehubungan itu, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu oleh seluruh mangsa banjir di PPS, perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua agensi terbabit.
“Mangsa banjir hendaklah sentiasa menjaga kesihatan kendiri, mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka,” katanya.
Sementara itu, mangsa banjir Kampung Paya Teh, Wok Awang Hitam berkata, dia dan keluarganya diarah berpindah sejak 10.30 pagi kerana air menunjukkan semakin meningkat.
“Kami sekeluarga sudah bersiap sedia dengan semua dokumen penting dan barangan berharga, manakala barang yang besar dipindahkan ke pondok rakit berdekatan rumah saya,” katanya.