2,000 PENDUDUK ULU TEMBELING SIAP SEDIA HADAPI BANJIR
JERANTUT : Kira-kira 2,000 penduduk di Ulu Tembeling, di sini bersiap sedia menghadapi banjir gelombang kedua berikutan beberapa kawasan rendah di situ ditenggelami air sedalam kira-kira dua meter sejak kelmarin.
Lima kampung terlibat ialah Kampung Bantal, Kampung Gusai, Kampung Mat Daling, Kampung Kuala Sat dan Kampung Pagi.
Malah, lapan buah restoran terapung menggunakan tong dram, dan rumah kedai yang dibina dipinggir Sungai Pahang terpaksa menghentikan operasi mereka berikutan laluan pelanggan dinaiki air.
Ketua Kampung Bantal, Hamdan Ali berkata, hujan lebat sejak beberapa hari menyebabkan beberapa rumah kedai di kawasan rendah dinaiki air mulai semalam.
“Namun, penduduk dan pemimpin kampung sentiasa memantau paras air yang semakin naik kesan hujan lebat dan limpahan air dari Kampung Raja di sempadan Terengganu.
“Hujan yang berterusan membimbangkan penduduk kerana daripada pengalaman lalu, paras air akan meningkat naik pada tengah malam atau awal pagi. SUngai Tembeling juga sudah meelepasi tahap bahaya, ” katanya.
Namun sehingga pagi tadi, belum ada penduduk berpindah ke pusat pemindahan banjir tetapi mereka sudah mengemas pakaian dan dokumen penting seperti sijil lahir, geran tanah dan kad pengenalan.