DIBERKAS LEPAS CEDERAKAN PENGHANTAR MAKANAN
CEDERAKAN PENGHANTAR MAKANAN, PENJUAL MI DIBERKAS
video/gambar: Polis/Media sosial
KUCHING: Penjual mi ditangkap kerana didakwa mencederakan seorang penghantar makanan selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Desa Wira, Batu Kawa, hari ini.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan berkata tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat mangsa iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun.
Menurutnya, suspek yang berumur 34 tahun ditangkap di pekarangan Balai Polis Kota Sentosa selepas dipanggil untuk menyerah diri sekitar jam 2.45 petang.
“Semasa disoal siasat, suspek mengaku ada menumbuk mangsa kerana telah melanggar keretanya,” kata Aidil dalam satu kenyataan.
Utusan Borneo melaporkan, Aidil memberitahu kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan menghantar makanan dan berlanggar dengan kereta suspek iaitu sekitar jam 12.21 tengah hari.
Dalam kejadian itu, suspek yang tidak berpuas hati kerana mangsa melanggar keretanya juga dikatakan cuba memukul mangsa menggunakan pemotong besi namun berjaya dihalang oleh orang awam.
“Bagaimanapun, mangsa ditumbuk menggunakan tangan sehingga menyebabkan kecederaan di bibir dan giginya,” katanya.
Mangsa kemudian menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.
Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.
Semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Manakala saringan awal air kencing suspek pada jam 5 petang ini juga didapati positif dadah jenis methamphetamine, katanya.
Suspek akan dipohon reman di Mahkamah Majistret Kuching esok pada jam 9 pagi.
video/gambar: Polis/Media sosial