NILAI KEDIAMAN TIDAK TERJUAL BERJUMLAH RM38.67 BILION
PUTRAJAYA: Unit kediaman siap dibina tidak terjual bagi separuh pertama 2020 (H1 2020) meningkat kepada 31,661 unit bernilai RM20.03 bilion berbanding 30,664 unit (RM18.82 bilion) dalam tempoh sama tahun lalu (H1 2019).
Dalam tempoh dikaji, apartmen servis yang termasuk dalam kategori hartanah komersil, turut merekodkan kenaikan sebanyak 21,683 unit siap dibina tidak terjual bernilai RM18.64 bilion, berbanding 18,186 unit bernilai RM14.57 bilion dalam separuh pertama tahun lalu.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan unit kediaman siap dibina tidak terjual termasuk apartmen servis ialah sebanyak 53,344 unit bernilai RM38.67 bilion.
Sehubungan itu Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah, menyarankan kepada pemaju dan pihak berkuasa supaya memberi perhatian sepenuhnya kepada data kediaman tidak terjual ini.
Katanya, ia adalah penting dalam membuat penentuan projek yang bakal dibangunkan dan memastikan harga jualan rumah yang munasabah bagi kawasan berkenaan.
“Ini adalah untuk memastikan penawaran perumahan adalah selari dengan permintaan dan isu ketidakpadanan dapat diminimakan,” katanya pada majlis taklimat Pasaran Harta Tanah Separuh Pertama 2020 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Datuk Othman Semail.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, A’zmi Abdul Latif.
Dalam laporan yang diterbitkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) itu, prestasi pasaran hartanah mencatatkan penurunan mendadak pada H1 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sektor hartanah mencatatkan 115,476 transaksi bernilai RM46.94 bilion pada H1 2020, menurun sebanyak 27.9 peratus dalam bilangan dan 31.5 peratus dalam nilai berbanding separuh pertama 2019 yang mencatatkan 160,165 transaksi bernilai RM68.53 bilion.
Sub-sektor kediaman menerajui keseluruhan pasaran harta tanah dengan menyumbang 65.2 peratus, diikuti oleh sub-sektor pertanian dengan syer 20.1 peratus. Pasaran hartanah kediaman merekodkan 75,318 transaksi bernilai RM25.61 bilion pada enam bulan pertama tahun ini, menurun sebanyak 24.6 peratus dalam bilangan dan 26.1 peratus dalam nilai berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam pasaran primer, bilangan pelancaran baharu pada H1 2020 jauh berkurangan daripada yang dicatatkan dalam tempoh kajian. Sebanyak 13,294 unit dilancarkan, turun 43.6 peratus berbanding 23,591 unit pada separuh pertama 2019, berbanding separuh tahun sebelumnya, jumlah pelancaran 31.6 peratus lebih rendah (H2 2019: 19,444 unit).
Prestasi jualan pada tempoh dikaji agak lemah iaitu pada 3.3 peratus, jauh lebih rendah berbanding H1 2019 (30.9 peratus) dan H2 2019 (28.4 peratus).
Pelancaran baharu yang rendah dan prestasi penjualan yang lemah berkemungkinan disebabkan oleh penutupan hampir kesemua aktiviti perdagangan dan ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac 2020.