SWCORP PERKENAL THRASH WARRIORS
Berita Nasional
SWCORP PERKENAL THRASH WARRIORS
KUANTAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memperkenalkan inisiatif baharu bagi memastikan lebih ramai orang awam dapat memainkan peranan dalam menjaga kebersihan persekitaran.
Pasukan sukarela dikenali sebagai Thrash Warriors yang bakal dilancarkan secara rasmi pada November ini, sedang membuka peluang kepada semua pihak untuk menjadi ahli.
Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, buat masa ini kira-kira 200 pelajar IPT sudah mendaftar sebagai Thrash Warriors dan jumlah itu dijangka bertambah selepas pelancaran rasmi dilakukan tidak lama lagi.
“Sebagai permulaan, SWCorp mensasarkan keahlian daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), sebelum memperluaskannya kepada pelajar sekolah dan orang awam.
“Kita juga sudah mengadakan pertemuan dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan mereka sedia membantu untuk memperkenalkan pasukan Thrash Warriors ini kepada pelajar sekolah di seluruh negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan pelancaran rasmi pasukan sukarela Thrash Warriors dijangka dilakukan sempena Hari Kitar Semula Sedunia, November nanti.