JAIS SERBU PREMIS GUNA LOGO HALAL TIDAK SAH
Berita Jenayah
JAIS SERBU PREMIS GUNA LOGO HALAL TIDAK SAH
SHAH ALAM: Sebuah premis dipercayai menjalankan urus niaga mengimport dan mengedar makanan dan minuman menggunakan tanda logo halal yang tidak sah diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dekat Gombak, pagi semalam.
Ops Suci itu membabitkan tujuh anggota penguatkuasa Bahagian Pengurusan Halal JAIS dan empat pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.
Dalam serbuan kira-kira jam 10.45 pagi itu, JAIS merampas 7,260 bungkusan produk dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM22,056.
Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pemeriksaan awal menemukan produk makanan jenis jeli yang diproses menjadi mee, yang diimport dari China dan syarikat itu bertindak sebagai pengedar di Malaysia.
“Semakan di dalam sistem MyeHalal mendapati premis itu bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.
“Pemilik syarikat juga memaklumkan bahawa mereka tidak mengetahui berkenaan penyalahgunaan logo halal yang tidak diiktiraf dan hanya mengimport dan mengedarkan produk berkenaan di Malaysia.
“Syarikat itu beroperasi sejak 16 tahun lalu dan mengedarkan produk makanan di kedai-kedai di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Mesra Media 2020 di sini semalam.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Peraturan 4 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu semua makanan tidak boleh diperihalkan sebagai halal melainkan diperakukan oleh pihak berkuasa berwibawa dan ditandakan dengan logo dalam Jadual Pertama.
“Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan pertama dan denda tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan berulang.
“Manakala bagi individu pula, mereka boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya (bagi kesalahan kali pertama) dan bagi kesalahan berikutnya denda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau keduanya,” katanya.