KEHILANGAN BESAR TOKOH PENDIDIKAN, EKONOMI MELAYU
KUALA LUMPUR: Kerajaan menzahirkan penghargaan yang tinggi atas sumbangan besar Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dalam pelbagai bidang.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata negara cukup merasa kehilangan atas pemergian Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhirnya, petang tadi.
Beliau berkata, Allahyarham banyak berjasa khususnya dalam memperjuangkan dan memperkasakan bidang pendidikan, ekonomi dan institusi berkaitan orang Melayu dan Islam.
BH Online melaporkan, sehubungan itu, beliau percaya jasa dan pengorbanan Allahyarham yang tiada tolok bandingnya akan sentiasa dikenang di minda serta hati setiap rakyat Malaysia.
“Saya amat berdukacita dengan berita pemergian Allahyarham iaitu seorang tokoh akademik dan ekonomi yang unggul dan amat disegani, petang tadi.
“Saya dan keluarga berkongsi kesedihan seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian orang tersayang. dan berharap mereka semua tabah menghadapi dugaan ini.
“Sama-samalah kita berdoa semoga roh Allahyarham dirahmati Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh, ” katanya di Facebook, hari ini.
Pada masa sama, Muhyiddin turut mengimbau semula antara sumbangan Allahyarham termasuk kejayaannya menjadi anak watan pertama dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Malaya (UM) selama 20 tahun.
Katanya, di bawah pentadbiran Allahyarham, Pusat Asasi Sains ditubuhkan yang menyaksikan kelahiran ramai doktor, jurutera dan profesional dalam kalangan anak tempatan.
Beliau berkata, jasa besar Allahyarham juga dikenang dalam penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) iaitu dua institusi yang dekat dengan orang Melayu.
“Allahyarham juga seorang pakar ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada pembangunan agama, bangsa dan negara, termasuk dalam menangani isu kemiskinan di luar bandar,” katanya.