SUMAREH, ISAAC SERTAI JDT
KUALA LUMPUR: Nama dua tonggak naturalisasi – Mohamadou Sumareh dan Isaac Angking – mula dikaitkan dengan kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT).
BH Online melaporkan, Ia susulan pendedahan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam yang mengatakan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu akan diperkuatkan dengan dua pemain naturalisasi.
Sumareh sebelum ini sudah dikaitkan dengan skuad Harimau Selatan dan terdapat spekulasi bahawa pemain naturalisasi pertama negara itu akan menyertai JDT selepas kontraknya bersama Police Tero FC berakhir.
Berdasarkan laporan sebelum ini juga, bekas pemain Pahang itu hanya mengikat kontrak enam bulan bersama kelab Thailand itu.
Sementara itu, Isaac yang dikatakan berdarah kacukan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) juga terpalit dengan spekulasi perpindahan ke JDT selepas kelabnya, New England Revolution yang beraksi dalam Major League Soccer dikhabarkan tidak menyambung khidmatnya untuk musim depan.
Baru berusia 20 tahun, Isaac yang beraksi di posisi tengah dijangka boleh menjadi prospek masa depan terbaik buat JDT dan Harimau Malaya sekiranya spekulasi perpindahan itu menjadi kenyataan.
Bagaimanapun segala spekulasi itu hanya akan terjawab selepas sidang media khas yang akan berlangsung Khamis ini.
Menerusi pengumuman berkaitan perkembangan pasukan JDT semalam, Tunku Ismail berkata: “Kami telah menandatangani empat pemain untuk musim 2021 serta empat lagi pemain (dua naturalisasi dan satu pemain import) untuk musim 2022.”
Menerusi video yang disiarkan di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers itu juga, beliau menjelaskan JDT bakal memeterai perjanjian dengan sebuah jenama antarabangsa yang terkemuka.