PM TAMPIL DI UNGA MELALUI SIDANG VIDEO
Berita Nasional
PM TAMPIL DI UNGA MELALUI SIDANG VIDEO
PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal membuat penampilan sulung sebagai Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) melalui ucapan video yang diprarakam untuk mesyuarat peringkat tinggi di New York, lewat hari ini.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, Muhyiddin pada mesyuarat sempena ulang tahun ke-75 UNGA itu akan membuat penegasan berhubung sokongan berterusan Malaysia terhadap peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Muhyiddin akan menggariskan perubahan yang perlu diambil PBB bagi memastikan pertubuhan itu kekal relevan dalam menangani cabaran global,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat peringkat tinggi sehari itu dijangka menerima Deklarasi Memperingati Ulang Tahun Ke-75 PBB.
“Deklarasi itu mengisyaratkan komitmen kolektif negara anggota terhadap multilateralisme dan untuk merangsang perkongsian dalam kalangan komuniti dalam merealisasi serta menyelesaikan keperluan paling penting,” katanya.
Mesyuarat peringkat tinggi itu akan memberi peluang kepada pemimpin dunia untuk bekerjasama melaksanakan matlamat PBB seperti yang termaktub dalam Piagamnya yang ditandatangani di San Francisco pada 26 Jun 1945.
Piagam itu menuntut PBB mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, menganjurkan kemajuan masyarakat serta standard kehidupan lebih baik, mengukuhkan undang-undang antarabangsa dan mempromosikan hak kemanusiaan.
Wisma Putra berkata, mesyuarat itu akan disusuli sesi debat umum yang dijadualkan bermula esok hingga 29 September ini.
Debat umum itu akan dipengerusikan oleh Presiden Sesi Ke-75 UNGA, Volkan Bozkir, dari Turki bawah tema The future we want, the United Nations we need: reaffirming our collective commitment to multilateralism – confronting COVID-19 through effective multilateral action.
Wisma Putra berkata, Muhyiddin dijadual menyampaikan pendirian Malaysia pada debat umum itu, 26 September ini.
- BERNAMA