BANJIR KILAT DI ZOO NEGARA
BANJIR KILAT KELMARIN ANTARA YANG TERBURUK
KUALA LUMPUR : Banjir kilat yang melanda Zoo Negara, kelmarin antara terburuk direkodkan menyebabkan seekor kambing mati.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @Rahmat Ahmat Lana berkata, walaupun banjir kilat hanya di kawasan rendah, bencana itu menyebabkan jalan dalam kawasan zoo rosak teruk dan lumpur memenuhi kandang haiwan.
“Mujurlah, sebaik banjir melanda, kebanyakan haiwan melarikan diri ke kawasan lebih tinggi, manakala selebihnya diselamatkan penjaga zoo.
KEADAAN BANJIR KILAT DI ZOO NEGARA YANG TERSEBAR DI MEDIA SOSIAL
“Hanya seekor kambing baka Katjang saja didapati mati dalam kejadian itu,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, satu rakaman video memaparkan detik cemas usaha kakitangan menyelamatkan beberapa haiwan yang terperangkap selepas Zoo Negara dilanda banjir kilat tular di laman sosial sejak Jumaat lalu.
Air naik sehingga 0.5 meter dan kakitangan zoo termasuk dua doktor terpaksa meredah banjir bagi memastikan semua haiwan selamat.
Difahamkan, kejadian sama pernah berlaku pada Disember tahun lalu, namun insiden terbaru lebih buruk.
Rosly berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian itu tetapi tidak menolak kemungkinan hujan terlampau lebat.
KAKITANGAN ZOO NEGARA MEMINDAHKAN HAIWAN KE TEMPAT LEBIH SELAMAT
“Mujurlah kita mendapat bantuan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan bomba untuk membersihkan kawasan zoo, kalau mengharapkan kakitangan zoo memang tidak cukup,” katanya.
Sementara itu, Rosly berkata, keputusan sama ada lokasi tumpuan ramai itu akan dibuka atau tidak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan diketahui minggu depan.
HUJAN TERLALU LEBAT DIPERCAYAI PUNCA KEJADIAN BANJIR KILAT DI ZOO NEGARA KELMARIN
“Difahamkan keputusan akan diketahui minggu depan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Kita sudah memohon kepada MOTAC untuk membuka zoo ini kepada orang ramai dan sangat berharap keputusan ini menyebelahi kita,” katanya.