SELAMATKAN TANAH FELDA DARIPADA TERGADAI
KERAJAAN SELAMATKAN TANAH FELDA DARI TERGADAI
MUAR: Kerajaan bersetuju untuk menyelamatkan FELDA supaya tanah milik peneroka tidak tergadai kepada orang asing, kata Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, pelbagai langkah dirangka bagi memulihkan kembali FELDA selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan.
Katanya, beliau sendiri pernah menentang penyenaraian FELDA sebagai syarikat awam menerusi FGV Holdings Bhd ketika berada dalam Kabinet, sebelum langkah berkenaan dibuat.
“Isu FELDA bukan masalah kecil. Ia masalah cukup besar dengan jumlah peneroka sahaja hampir dua juta dan ia adalah ladang terbesar di dunia membabitkan keluasan 1.2 juta hektar. Kerajaan ambil langkah selamatkan FELDA untuk kembalikan hak sebenar peneroka.
“Paling penting komitmen semua pihak untuk memastikan hartanah berbilion ringgit tidak tergadai kepada orang asing atau pada orang yang bukan berhak. Sebab itu menjadi komitmen kerajaan PN untuk berbuat apa sahaka untuk menyelamatkan hak orang Melayu dalam negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Pemimpin bersama Masyarakat Parlimen Pagoh, di Dewan Serbaguna FELDA Sri Jaya, dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri.
Memetik laporan BH Online, Oktober lalu, Kabinet dilaporkam meluluskan cadangan terbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion oleh FELDA dengan jaminan kerajaan bagi membolehkan agensi itu melaksanakan pelan pemulihan seperti yang dibentangkan oleh Pasukan Petugas Khas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed, dilaporkan berkata laporan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu FELDA sudah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Oktober lalu.
MUSTAPA MOHAMED
Antara cadangan yang diterima oleh Jemaah Menteri ialah penstrukturan semula hutang dengan institusi kewangan, meningkatkan pendapatan teras daripada tanah ladang FELDA dengan menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan meningkatkan daya berdikari peneroka.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, pemulihan FELDA adalah usaha amat penting PN untuk pertahankan hak orang Melayu.
“Hak bangsa bukan Melayu kerajaan tidak sentuh dan jika mereka memerlukan bantuan, kita akan bantu.
GAMBAR HIASAN
“Kerajaan tidak akan ambil hak orang lain namun akan pelihara jika ia milik orang Melayu. Itu komitmen PN,” katanya.
Sementara itu, beliau juga mahu FELDA mula mencatatkan keuntungan semula dalam masa terdekat selepas pelbagai langkah dirangka bagi menyelamatkan FELDA.
“Saya sudah maklumkan Pengerusi Pasukan Petugas Khas FELDA, Abdul Wahid Omar dan Pengerusi FELDA, Idris Jusoh supaya pulihkan segera FELDA dan penerokanya.
“Saya mahu FELDA kembali catatkan keuntungan dalam masa terdekat dan mereka memberi jaminan mulai 2023, FELDA akan kembali untung,” katanya.