BINTANG YOUTUBE DIREMAN 2 HARI
KOTA BHARU: Seorang YouTuber direman dua hari bagi membantu siasatan dakwaan dia mencabul seorang wanita berusia 24 tahun.
Perintah reman yang bermula hari ini sehingga esok itu dikeluarkan oleh Majistret Kamarul Hasyime Rosli, hari ini seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Terdahulu suspek berusia 22 tahun tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu jam 10.35 pagi tadi diiringi polis.
Siasatan terhadap YouTuber yang juga penerbit dan pengarah drama itu dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).
Sebelum ini, media melaporkan, satu laporan polis dibuat oleh mangsa terhadap suspek yang beralamat di Kuantan, Pahang itu pada Jumaat lalu mendakwa dicabul lelaki terbabit.