CUBAAN SELUDUP MURAI BATU GAGAL
PASUKAN POLIS MARIN JOHOR BERJAYA KESAN KENDERAAN DALAM KEADAAN MENCURIGAKAN
PENGERANG: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Tampoi dan PPM W2 Pengerang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar burung yang disyaki burung murai batu ke negara jiran di daerah ini pada awal malam semalam.
Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah, berkata operasi dijalankan oleh dua pegawai dan 12 anggota dalam tugas Ops Benteng COVID-19 telah berjaya mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Sungai Rengit, Pengerang Kota Tinggi, Johor.
Memetik laporan Harian Metro, pasukan serbuan mengekori kenderaan tersebut dan berjaya memintas kenderaan suspek di kawasan tepi pantai Sungai Rengit, Kota Tinggi, Johor.
Menurut beliau lagi, dalam operasi tersebut pasukan serbuan telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 42 tahun dan merampas 260 ekor disyaki burung murai batu serta sebuah kereta digunakan suspek, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM108,000.00.
Burung murai dari Malaysia dikatakan lebih bermutu tinggi dan harga seekor burung murai mampu mencecah ribuan ringgit di pasaran Indonesia.
Tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Taktikal PPM W2 Pengerang untuk proses siasatan lanjut, kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Dalam Operasi Benteng COVID-19 ini, PPM W2 menumpukan sebarang bentuk pergerakan bot di perairan negara bagi memastikan perairan kita terkawal dari aktiviti jenayah rentas sempadan termasuklah aktiviti-aktiviti penyeludupan.