PENDAKWAH SELEBRITI AKHIRNYA DIDAKWA
SHAH ALAM: Pendakwah selebriti Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau Dai Syed perlu menghabiskan masa lebih kurang tiga malam lagi di lokap kerana tidak sempat membayar ikat jamin hari ini.
Memetik laporan Malaysiakini, meskipun bekas peserta siri realiti bercorak keagamaan itu dilepaskan dengan ikat jamin susulan berdepan tiga pertuduhan di mahkamah berbeza, namun dia terpaksa bermalam di pusat tahanan reman sementara Beranang, Selangor.
TERTUDUH (TENGAH) DIHADAPKAN KE MAHKAMAH SHAH ALAM DAN PETALING JAYA
Ia susulan pihak penjaminnya tidak sempat membayar wang jaminan RM35,000 akibat kekangan waktu.
Peguam Syed Amirul Syed Edros berkata, pihaknya agak terkilan selepas mendapati pertuduhan dimulakan agak lewat dan susulan itu pihak penjamin tidak sempat membayar wang ikat jamin di kedua-dua mahkamah terbabit.
“Kaunter jamin bukan mahkamah tetapkan kerana ada satu kaunter yang akan uruskan hal-hal jaminan.
“Kita difahamkan waktu jamin dah berhenti pada waktu 2.30 petang di Mahkamah Petaling Jaya dan pertuduhan di situ juga lewat habis iaitu pada jam lebih kurang 2.00 petang.
“Disebabkan (penjamin) tidak sempat membayar jaminan maka telah dikeluarkan satu waran penahanan untuk Syed dan dia perlu pergi ke pusat tahanan reman sementara di Beranang hingga tarikh terawal mahkamah dibuka semula,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Jelasnya lagi, penjamin anak guamnya merupakan pengurus serta abang kandungnya sendiri dan mereka akan menguruskan hal urusan jamin itu selewat-lewatnya Isnin depan.
“Pada Isnin baru urusan jamin dapat dijalankan kembali,” katanya lagi.
Hari ini, Dai tersebut melalui hari panjang setelah dihadapkan ke atas tiga pertuduhan di dua mahkamah berbeza.
Pada awal, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas dua pertuduhan termasuk cabul dan melakukan seks luar tabii.
GAMBAR HIASAN
Susulan itu, bagi pertuduhan tersebut, hakim kedua-dua Mahkamah Sesyen dan Majistret telah memerintahkan tertuduh membayar ikat jamin berjumlah keseluruhan RM25,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa.
Dua pertuduhan yang dihadapkan Syed Shah tadi bermula pada jam 11.00 pagi tadi kemudian berakhir lebih kurang jam 1.30 petang.
Berdasarkan penjelasan peguamnya kepada pemberita di Petaling Jaya selepas prosiding di situ selesai tadi, Syed Shah sepatutnya membayar ikat jamin yang dikenakan di Petaling Jaya terlebih dahulu sebelum dihadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Bagaimanapun, pihak berkuasa di Petaling Jaya dikhabarkan terus membawa Syed Shah ke Mahkamah Shah Alam untuk meneruskan dakwaan atas pertuduhan merogol kerana kaunter ikat jamin di Petaling Jaya itu difahamkan telah tutup.
Syed Shah kemudian berdepan satu lagi pertuduhan merogol di Shah Alam dan dia mengaku tidak bersalah.
Setelah mendengar hujah dari pihak pendakwa raya dan peguam bela, Mahkamah Sesyen Shah Alam telah memerintahkan tertuduh untuk membayar ikat jamin berjumlah RM10,000.
Bagaimanapun di Shah Alam juga, pihak penjamin tidak sempat melunaskan bayaran tersebut ekoran kaunter ikat jamin telah ditutup.
Sebelum ini, pendakwah berusia 25 tahun itu telah direman 10 hari di Mahkamah Shah Alam berhubung dakwaan kes merogol kenalan laman sosial Instagram.
Suspek kemudiannya direman lagi di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam sehingga Jumaat ini (11 Disember) atas dakwaan serupa.