RANGKAIAN BARU SELUDUP PATI
RANGKAIAN BARU SELUDUP PATI
JOHOR BAHRU: Polis Johor percaya wujudnya rangkaian sindiket penyeludupan pendatang asing yang baru di negeri ini, berikutan masih terdapat pembolosan di pintu sempadan terutama di kawasan Pantai Timur.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pithcay berkata, pihaknya sedang melakukan pemantauan dan tangkapan susulan akan dibuat, selepas mengenal pasti dalang sindiket.
KETUA POLIS JOHOR, DATUK AYUB KHAN MYDIN PITHCAY
Katanya, setakat April sehingga Julai tahun ini lebih 70 suspek yang terdiri daripada tekong darat dan laut diberkas dan disiasat di bawah Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Setakat ini kita dapati masih ada pembolosan dan polis serta tentera juga ada lakukan tangkapan.
“Sebelum ini sudah menahan dan menunggu dibicarakan. Kemungkinan wujud rangkaian baharu dan kita sedang memantau dan mengenal pasti,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan menerusi Op Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 di Pasar Borong Pandan, dekat sini, hari ini.
PASAR BORONG PANDAN, JOHOR BAHRU
Selain itu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sejak 18 Mac hingga 7 Disember lalu, sebanyak 4,715 ditahan atas pelbagai kesalahan.