SUKPA JADI PUSAT KUARANTIN
KUANTAN: Kawat duri sepanjang 354 meter dipasang mengelilingi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di sini bagi mengelak pesakit COVID-19 warganegara asing yang dikuarantin di situ melarikan diri.
Memetik laporan Utusan Online, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd. Zairasyahli Shah Zakaria berkata, masyarakat tidak perlu bimbang berhubung langkah pemilihan SUKPA sebagai pusat kuarantin kerana ia dikawal ketat petugas keselamatan 24 jam sehari.
GAMBAR HIASAN
Katanya, SUKPA ditentukan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan yang bertujuan menampung kapasiti hospital apabila keadaan memerlukan.
“Pemilihan SUKPA juga kerana kes-kes positif COVID-19 (Kluster Genting) adalah dalam kalangan warga asing.
“Keutamaan rawatan di hospital kerajaan adalah untuk rakyat Malaysia. Kita tidak mahu akses rakyat Malaysia tersekat kerana dipenuhi oleh pesakit COVID-19 warga asing,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau PKRC SUKPA, hari ini.
Mohd. Zairasyahli Shah berkata, seramai 115 pesakit COVID-19 iaitu kumpulan pertama dari Kluster Genting yang berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus dikuarantin dengan kawalan ketat di SUKPA bermula esok.
“Seramai 115 pesakit warga asing dibawa ke SUKPA untuk kuarantin. Ujian saringan dilakukan ke atas 1,186 individu yang kesemuanya warga asing dan 119 daripada mereka didapati positif (semalam),” katanya.
GAMBAR HIASAN
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata, pihaknya terus memantau pergerakan di semua daerah di negeri ini bagi mengawal penularan pandemik tersebut.
“Polis yakin daerah-daerah lain masih terkawal melainkan Bentong yang berlaku (kes jangkitan) di luar jangka,” tambahnya.
Katanya, seramai 30 hingga 50 anggota keselamatan ditugaskan mengawal Stadium Tertutup SUKPA sepanjang tempoh kuarantin pesakit Kluster Genting di situ.