TIADA HAD PELANGGAN BAGI SETIAP MEJA MAKAN
KUALA LUMPUR: Bermula hari ini tiada lagi had jumlah pelanggan setiap meja di kedai makan, kata Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata kelonggaran itu yang tertakluk kepada penjarakan fizikal, terpakai di semua kawasan kecuali wilayah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
MENTERI KANAN (PERTAHANAN), DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
“Banyak saranan daripada orang awam (tiada had pelanggan di meja makan) kerana rentas negeri telah dibenarkan dan tiada had penumpang kenderaan, jadi ramai keluar dengan keluarga dan tak munasabah jika terpaksa duduk berasingan di kedai makan,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan dipetik dari Bernama.
Bagaimanapun tegasnya beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan sejak 7 Disember lepas bukan lampu hijau untuk seluruh rakyat alpa kerana pandemik COVID-19 masih belum berakhir.
Ismail Sabri turut mengingatkan orang ramai khususnya yang pulang ke kampung menjelang sambutan Hari Krismas, agar sentiasa mematuhi semua SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan pandemik itu.
“Kita menuju ke arah lebih banyak pembukaan (sektor) dan kelonggaran (SOP) kerana seperti kita tahu PKPP akan berakhir pada 31 Disember tetapi kerajaan belum buat keputusan yang seterusnya (lanjut atau tamat PKPP).
“Kita tidak selamanya terikat dengan peraturan ini (SOP), justeru kita yang bertanggungjawab secara kendiri menjaga kesihatan diri dan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri turut menjelaskan walaupun kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di kawasan PKPB, penganjuran aktiviti sosial termasuk majlis perkahwinan masih tidak dibenarkan di kawasan terbabit.
“Ramai yang keliru apabila kerajaan membenarkan rentas negeri dan daerah di kawasan PKPB. Walaupun ada kelonggaran dari segi pergerakan, aktiviti sosial masih tidak dibenarkan.
“Hanya kawasan PKPP dibenar mengadakan majlis perkahwinan, mesyuarat misalnya. Namun perlu patuh SOP ditetapkan,” katanya.