SELENGGARA HELIKOPTER TAK AKTIF
PDRM BAYAR RM3.47 JUTA
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat bayaran perkhidmatan penyelenggaraan berjumlah RM3.47 juta terhadap dua helikopter yang tidak aktif melebihi tiga tahun.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, pengauditan telah dilaksanakan di Ibu Pejabat PDRM terhadap bayaran perkhidmatan penyelenggaraan bagi tahun 2018 hingga September 2019.
GAMBAR HIASAN
Laporan itu menyebut pengauditan itu dilaksanakan untuk menentukan bayaran penyenggaraan mengikut peraturan dan kontrak yang sedang berkuat kuasa.
“Semakan lanjut mendapati bayaran penyenggaraan helikopter berjumlah RM3.47 juta telah dibuat bagi dua helikopter iaitu 9M-PHA dan 9M-PHF yang tidak aktif melebihi tiga tahun dari tahun 2017 hingga 2019,” demikian menurut laporan itu dipetik dari Malaysiakini.
Berdasarkan Laporan Bulanan Penyenggaraan Helikopter, sebanyak enam daripada 10 helikopter diklasifikasikan sebagai tidak aktif kerana tidak mencapai jam penerbangan yang ditetapkan.
“Daripada enam helikopter yang tidak aktif, sebuah helikopter dalam proses pelupusan, sebuah tidak aktif kurang dari enam bulan dan empat lagi tidak aktif melebihi enam bulan,” menurut laporan itu.