BEKAS KONTRAKTOR DIDAKWA MAKAN SUAP
SEORANG BEKAS KONTRAKTOR TNB DIDAKWA TERIMA SUAPAN SEBAGAI DORONGAN TIDAK POTONG BEKALAN ELEKTRIK
SHAH ALAM: Seorang bekas kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan memperoleh suapan wang tunai RM650 daripada dua pemandu perkhidmatan e-hailing sebagai dorongan tidak memotong bekalan elektrik di rumah sewa mereka, awal tahun ini.
GAMBAR HIASAN
Muhammad Syauqi Mohammad Kamil, 26, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Tertuduh didakwa memperolehllll suapan RM400 daripada Aidilamin Abdul Latib @ Talib dan suapan RM250 daripada Aliff Mahadzir Ralman, yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh, sebagai dorongan untuk tidak memotong bekalan elektrik di rumah sewa mereka di Cahaya SPK, Seksyen U9 di sini.
Seperti yang dilaporkan BERNAMA, Muhammad Syauqi didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Maybank Cawangan Setia Alam di sini, pada 8 dan 9 Jan lepas, mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, selain memerintahkan lelaki itu melapor diri di pejabat SPRM Selangor setiap awal bulan sehingga kes selesai.
TERTUDUH (KIRI) DIIRINGI ANGGOTA POLIS SELEPAS DITUDUH DI MAHKAMAH SHAH ALAM
Mahkamah turut menetapkan 18 Januari 2021 untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Tuan Attfina Tuan Kamaluddin, sementara tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus dan Mohd Fadly Hashim.