CUKAI VAPE 10 PERATUS
CUKAI PERANTI ROKOK ELEKTRONIK DIKENAKAN 10 PERATUS
PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini mengumumkan duti eksais untuk peranti rokok elektrik dan bukan elektronik, selain cecair atau gel untuk peranti berkenaan yang akan mula dikuatkuasakan 1 Januari depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir, berkata pengenaan duti eksais itu seperti diumumkan melalui Belanjawan 2021 baru-baru ini, akan membabitkan tiga barangan ditetapkan.
Katanya, bagi peranti rokok elektronik di bawah kod tarif 8543.70.9010 dan peranti bukan elektronik di bawah kod tarif 9614.00.9010 ditetapkan 10 peratus ad valorem (mengikut nilai).
GAMBAR HIASAN
Untuk cecair atau gel rokok elektronik serta vape yang tidak bernikotin pula, beliau berkata duti eksais ditetapkan 40 sen bagi setiap mililiter (ml).
“Duti eksais ini akan dikenakan ke atas barangan disenaraikan ini semasa pengimportan dan pelepasan daripada pengilang tempatan,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
GAMBAR HIASAN
Pada 6 November lalu sewaktu pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, berkata duti eksais akan dikenakan ke atas peranti rokok elektronik, peranti rokok bukan elektronik dan cecair atau gel rokok elektronik termasuk cecair atau gel vape tanpa nikotin berkuat kuasa 1 Januari depan.
Memetik laporan BH Online , Abdul Latif berkata pengilang tempatan perlu dilesenkan di bawah Seksyen 20 Akta Eksais 1976 dengan bayaran lesen dikenakan RM4,800 setahun, manakala untuk bayaran lesen gudang di bawah Seksyen 25 Akta Eksais 1976 pula sebanyak RM2,400 setahun.
“Permohonan lesen boleh dibuat sebelum 15 Disember ini di JKDM di zon atau negeri di mana premis kilang atau gudang berada,” katanya.
Untuk tujuan pelesenan, beliau berkata surat permohonan lesen eksais perlu dikemukakan bersama borang JKDM nombor 1 yang lengkap diisi serta sijil pendaftaran perniagaan atau syarikat di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Dokumen lain diperlukan termasuk pelan dan lukisan premis pengilangan, senarai bahan mentah, senarai barang siap, carta aliran proses pengilangan dan kapasiti pengeluaran bagi setahun serta pengakuan mengenai kandungan nikotin dalam cecair atau gel rokok elektronik yang ingin dipasarkan,” katanya.