POLIS TERIMA 1 LAGI LAPORAN MANGSA CABUL
SEORANG LAGI MANGSA CABUL PENGAMAL PERUBATAN TRADISIONAL TAMPIL BUAT LAPORAN POLIS
KUALA BERANG: Satu lagi laporan diterima berkaitan kes cabul membabitkan seorang pengamal perubatan alternatif berusia 52 tahun di sini, yang kini berada dalam tahanan polis.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata laporan terbaru itu dibuat seorang jurujual wanita berusia 25 tahun pada jam 1.15 petang tadi, mendakwa turut menjadi mangsa kepada suspek sama.
Mengulas lanjut, katanya mangsa memaklumkan mendapatkan rawatan perubatan alternatif daripada saspek pada September 2018 lalu dan ketika kejadian, ditemani adik perempuannya yang berusia 20 tahun.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan, mangsa berkata ketika melakukan rawatan, saspek memeluk, memegang payu dara dan alat sulitnya dan perbuatan itu turut dilakukan kepada adik mangsa pada hari sama.
“Musykil dengan kaedah rawatan dan status ustaz terbabit, lima hari kemudian mangsa bersama adiknya dengan ditemani ibu mereka kembali ke pusat rawatan itu berkenaan di cawangan Kampung Butut, di sini, untuk mendapatkan kepastian.
“Selepas dimaklumkan suspek memang pengamal perubatan di pusat terbabit, mangsa pulang ke rumah tanpa memikirkan sesuatu yang pelik sehinggalah terbaca berita mengenai kes wanita dicabul ketika mendapatkan rawat perubatan sama, semalam,” katanya.
Mohd Adli berkata, teringatkan kejadian menimpa dirinya, mangsa tampil ke balai polis untuk membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul.
Ahad lalu seperti yang dipetik BH Online, seorang pengamal perubatan tradisional ditahan selepas disyaki mencabul seorang pesakit wanitanya yang didakwa terkena buatan orang, pada bulan lalu.
Suspek ditahan di rumahnya di Kuala Berang susulan laporan polis dibuat mangsa yang juga seorang jurujual.