JULAYHA RAKAN SETUGAS YANG BAIK
PEKAN: Julayha Kudus, 39, yang merupakan salah seorang kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan, yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan semalam merupakan seorang sahabat yang baik.
Ketua jururawat PKD Pekan, Eryanti Zakaria berkata, Julayha merupakan seorang yang lembah lembut dan tidak pernah meninggikan suara terhadap rakan setugas dan kejiranan mereka.
“Selama saya mengenali Allahyarhamah selama 16 tahun ini, beliau seorang yang baik, sentiasa bercakap lemah lembut dan tidak pernah marah.
“Biasanya beliau akan mengucap selamat tinggal kepada kami jika mahu kemana-kemana, tetapi pagi semalam tiada lagi ucapan itu hanya nampak beliau seperti kelam-kabut, bergegas ke tempat kerja,” katanya ketika dihubungi SAHIH.
Allahyarhamah meninggalkan suami dan empat anak berusia antara 5 tahun dan 14 tahun.
Kemalangan yang berlaku di Kilometer 32 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Tanjung Batu, di sini,semalam turut meragut seorang kakitangan PKD Pekan yang juga merupakan pemandu Toyota Hilux, Mohd Zuhairi Abdullah, 35.
Julayha (barisan hadapan,kiri) dan Eryanti (berbaju biru) bersama kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Pekan bergambar kenangan di pejabat mereka
Sementara tiga yang cedera ialah pegawai perubatan PKD Pekan, Muhd Ikhwan Ramlee, 29, yang juga penumpang hadapan pacuan empat roda serta pemandu Perodua Myvi, Azlida Mohamad Ramli, 41 dan anak perempuannya, Nur Mawaddah Mazuha @ Nazuha Umur, 5.
Dua lagi yang terbabit dalam kemalangan itu, Ahmad Qardhawi Najmi Mazuha @ Nazuha, 12, yang menaiki Perodua Myvi dan pemandu lori tangki berumur 34 tahun tidak mengalami kecederaan.
kemalangan berlaku jam 10.20 pagi apabila lori tangki dari arah Rompin menghala Kuantan dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan dua lagi kenderaan yang dilalui Toyota Hilux dan Perodua Myvi.