MFL DIDAKWA GAGAL LUNAS BAYARAN PENGULAS
KUALA LUMPUR: Malaysia Football League (MFL) didakwa tidak membuat pembayaran kepada pengulas Liga Malaysia (Liga M) sepanjang musim ini.
Seorang wakil pengulas mendakwa bayaran untuk musim lalu juga masih belum diterima sepenuhnya meskipun mereka beberapa kali cuba mendapat penjelasan daripada pihak pengendali Liga M tersebut.
GAMBAR HIASAN
“Bukan mahu menimbulkan isu atau cari masalah dengan MFL tetapi bila sudah terlalu lama menunggu tanpa sebarang jawapan. Mungkin ini jalan terakhir untuk kami.
“Kalau boleh nak mereka selesaikan secepat mungkin atau berjumpa dengan kami dan jelaskan status pembayaran macam mana.
“Bayaran Piala Malaysia tahun lepas pun tidak selesai sepenuhnya lagi. Tahun ini sejak bermula liga sampai habis kami tidak dapat satu sen pun,” kata individu itu yang tidak didedahkan identitinya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya memahami keadaan COVID-19 yang melanda negara ketika ini, menyebabkan pembatalan Piala FA dan Piala Malaysia manakala liga hanya berlangsung satu pusingan, namun mereka juga terkesan.
“Kita faham semua terkesan tetapi kalau boleh beri jawapan dan jangan hanya berdiam sahaja. Kami sudah bekerja tetapi tidak mendapat bayaran.
“Ini tidak adil untuk kami, tambahan keadaan COVID-19 yang turut menyebabkan kami terkesan. Bukan kami tidak cuba berhubung dengan mereka tetapi kesudahannya tiada jawapan,” katanya.