SAARANI CALON MB PERAK
KUALA LUMPUR: Ahli majlis tertinggi UMNO, Zahidi Zainul Abidin mengesahkan pimpinan tertinggi parti itu sebulat suara mencalonkan ADUN Kota Tampan, Saarani Mohammad sebagai menteri besar Perak yang baru.
AHLI MT UMNO, ZAHIDI ZAINUL ABIDIN
“Sebulat suara,” katanya apabila ditanya berhubung perkara itu dipetik dari Malaysiakini.
“Ya, betullah tu,” kata Timbalan Menteri Komunikasi itu apabila ditanya sekali lagi sebagai pengesahan.
Dia berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat majlis tertinggi (MT) di bangunan PWTC, malam tadi.
Kebanyakan ahli MT yang hadir enggan mengulas pertanyaan pemberita apabila ditanya mengenai perkembangan mesyuarat malam tadi.
Mesyuarat itu diadakan selepas Ahmad Faizal Azumu yang juga ADUN Chenderiang dan Timbalan Presiden BERSATU disingkirkan sebagai menteri besar Perak baru-baru ini.
Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya yang diusulkan oleh ADUN Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashim.