TAK PERLU JADI PEMABUK POPULARITI
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor membidas pihak yang menghentamnya dalam isu perobohan kuil di negeri berkenaan.
Menerusi kenyataan di Facebook, Muhammad Sanusi berkata isu perobohan struktur atas tanah yang diwartakan sebagai kawasan lapang di Taman Bersatu Kuala Kedah ialah isu undang-undang, bukan perkauman, agama atau diskriminasi.
Katanya isu di Taman Bersatu itu, bukan sahaja kuil, malah gelanggang silat telah dirobohkan di bawah akta sama, begitu juga di lokasi lain di Alor Setar ada gerai, parkir kereta, setor, pagar, dapur, bangsal turut dirobohkan.
GAMBAR HIASAN
“Kenapa MIC dan DAP tidak bersuara tentang gelanggang silat di pinggir kuil itu? Senior politician seperti mereka itu janganlah minum hanya sebotol, mabuknya dua tiga botol,” katanya dipetik dari Malaysiapost.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata sedikit kekecohan yang diapi-apikan pihak berkepentingan pada waktu ini adalah risiko yang terpaksa dihadapi untuk membina masa depan lebih tenteram dan harmoni.
“Jangan sampai kita bergaduh pada masa depan hanya kerana mabuk todi populariti, mahu menunjuk jaguh kaum pada masa sekarang.
“Ada beberapa serangan politik kepada Kerajaan Negeri Kedah berkaitan isu kuil yang diputar belit dari sudut fakta sejarah, (ada dakwaan 30 tahun dan ada juga mendakwa 50 tahun), sedangkan pihak berkuasa mempunyai rekod sebenar tentangnya,” katanya.
Beliau berkata, bangunan itu hanya muncul beberapa tahun kebelakangan ini, daripada asalnya sebuah berhala yang diletakkan di perdu sebatang pokok.
“Sebelum ini mereka jugalah yang mengelak untuk mengakui bahawa satu tapak yang lebih besar, luas dan selesa telah diberikan untuk menggantikan tapak sebuah kuil yang terbabit dengan pelebaran rel keretapi di Alor Setar.
“Selepas diberi tapak baru, kuil pun didirikan, mereka kembali pula mendirikan kuil di tapak asal. Notis mengosongkan tapak itu telah dikeluarkan beberapa kali sebelum tindakan diambil oleh MBAS (Majlis Bandaraya Alor Setar).
“Kes itu juga diputar belit untuk membina persepsi bahawa PAS adalah pelampau agama yang mendiskriminasi agama lain. Kononnya kuil itu berusia lebih 100 tahun, padahal hanya dibina beberapa tahun lalu sahaja,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, tiada siapa dalam kalangan pemimpin politik kaum India dari MIC atau DAP berani mendedahkan fakta itu, sebaliknya mengapi-api sentimen kaum dan agama untuk menjadi jaguh.
“Jika ada sesiapa dari kalangan pemimpin politik, kaum dan agama cuba mengapi-apikan permusuhan, menghalang undang-undang ditegakkan, menuduh dan memfitnah di luar kebenaran, memutar belit isu undang-undang dengan mengheret kepada isu kaum dan agama, mereka tidak patut dibiarkan berwewenang.
“Perlembagaan Malaysia adalah suara untuk menjunjung kebenaran, keadilan, bukan bebas bersuara tentang kepalsuan, putar belit, fitnah dan adu domba. Hal ini sangat mudah difahami, tetapi sengaja dikesampingkan hanya untuk menjadi jaguh.
“Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan Parit dan Bangunan (Akta 133) tidak hanya dikuatkuasakan kepada kuil Hindu, tokong atau rumah ibadat. Ia berkuatkuasa ke atas semua struktur, binaan dan hadangan yang tidak diluluskan,” katanya.
Sebelum ini, Presiden MIC, M Saravanan menyatakan kekecewaan terhadap Menteri Besar Kedah berhubung tindakan merobohkan kuil Hindu di negeri berkenaan.
Menerusi kenyataan, Menteri Sumber Manusia itu berkata, Sanusi memungkiri janji yang dibuat kepada beliau serta Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique pada Julai lalu.
Saravanan berkata tindakan Sanusi itu dikhuatiri akan mengurangkan sokongan masyarakat India pada masa akan datang yang beranggapan mereka ditipu.