SUMBANGAN DISALURKAN TANDA INGATAN
ZIARAH KASIH DUN PULAU TAWAR SANTUNI PENEROKA
JERANTUT: Lebih banyak bantuan disalurkan kepada warga peneroka yang terjejas akibat COVID-19 dan mengalami masalah kesihatan.
Pengagihan bantuan itu sudah ditetapkan mengikut maklumat diterima daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dilantik kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, setiap rakyat di Pahang akan diberi perhatian dan bantuan bersesuaian dengan masalah yang mereka hadapi.
ADUN PULAU TAWAR, DATUK NAZRI NGAH (DEPAN) MENGUNJUNGI KEDIAMAN WARGA PENEROKA FELDA KOTA GELANGGI 3 PADA PROGRAM ZIARAH KASIH DI FELDA KOTA GELANGGI 3, PAGI TADI
“Kita adalah antara kerajaan negeri yang sering dijadikan contoh kerana memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan bebanan ditanggung rakyat.
“Usaha dan bantuan ini adalah bukti rasa prihatin dan berpegang kepada amanah diberikan rakyat yang memilih kami sebagai wakil mereka” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Ziarah Kasih DUN Pulau Tawar di FELDA Kota Gelanggi 3 dekat sini, pagi tadi.
Pada program itu, Nazri sempat melawat empat kediaman peneroka FELDA berkenaan yang mengalami masalah kesihatan, diserang angin ahmar dan berkerusi roda.
DATUK NAZRI NGAH (3 DARI KANAN) BERSAMA AJK UMNO BAHAGIAN JERANTUT MENGUNJUNGI KEDIAMAN WARGA PENEROKA FELDA PADA PROGRAM ZIARAH KASIH DI FELDA KOTA GELANGGI 3
Turut menyertai program itu ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud; Pengerusi JKKK FELDA Kota Gelanggi 3, Abdul Rahim Ahmad dan Pengurus FELDA Kota Gelanggi 3, Shukri Napi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Keusahawanan, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang berkata, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan rakyat.