3 CADANGAN TAMBAH BAIK i-SINAR
PEMUDA UMNO DESAK KWSP LEBIH IKHLAS
KUANTAN: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepatutnya lebih ikhlas dan tidak terlalu banyak berdolak-dalih dalam membuat keputusan berkaitan permintaan pemohon untuk mengeluarkan caruman dari Akaun 1 mereka.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan dikeluarkan KWSP mengenai syarat bagi pengeluaran caruman dilihat sebagai tindakan tidak senada dengan pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.
DR ASYRAF WAJDI DUSUKI/TWITTER
“Sejak pengumuman perincian berkenaan inisiatif i-Sinar kelmarin, kita menerima puluhan ribu maklum balas melalui saluran media sosial, WhatsApp dan telefon.
“Rata-rata maklum balas diterima menzahirkan kemarahan dan kekecewaan terhadap keputusan KWSP yang dilihat lebih menyulitkan berbanding harapan diberikan Menteri Kewangan sewaktu sesi penggulungan (peringkat dasar) Belanjawan 2021 baru-baru ini.
“Majoriti rakyat yang bersuara beranggapan pihak KWSP tidak ikhlas dan dilihat gagal menterjemahkan suara hati dan janji Kerajaan meringankan beban mereka yang ketika ini berhadapan dengan kesusahan dan kepayahan hidup,” katanya melalui kenyataan di laman sosial Facebook hari ini.
Beliau menggesa KWSP supaya tidak lagi mencipta pelbagai alasan tapi sebaliknya segera mencari jalan untuk menambah baik cara atau kaedah pengeluaran supaya tidak menimbulkan masalah kepada pemohon.
“Kita mempunyai tiga cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh KWSP.. cadangan pertama, mansuhkan segala syarat yang menyusahkan pencarum.
“Cadangan kedua, kurangkan karenah birokrasi dan menyingkatkan tempoh pemohon menerima bayaran pertama dari tiga bulan kepada hanya sebulan dan akhir sekali, memberi pilihan kepada ahli (pencarum) untuk mengeluarkan RM10,000 secara one–off selepas permohonan mereka diluluskan,” katanya.
Asyraf turut memberi jaminan bahawa Pemuda UMNO akan terus memantau perkembangan isu ini dan membawa segala suara rakyat yang terkesan akibat COVID-19.