JURUWANG WANITA HAMIL DITAMPAR
SEORANG JURUWANG WANITA SEDANG HAMIL DITAMPAR
KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin mengecam perbuatan kasar seorang lelaki yang menampar juruwang wanita hamil lima bulan dalam kejadian di sebuah pasar raya di Klang.
Sehubungan itu beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berharap siasatan terperinci dilakukan terhadap kes berkenaan dengan penyelesaian terbaik.
ZURAIDA KAMARUDIN
“Saya percaya tindakan lelaki yang menampar wanita berkenaan seolah-olah mencederakan anggota keluarga perempuannya seperti ibu, anak, kakak, adik, nenek atau isterinya sendiri.
“Saya difahamkan kertas siasatan sudah dibuka namun saya berharap supaya siasatan terperinci dilakukan bagi kes berkenaan dan penyelesaian terbaik dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dari BH Online.
Beliau berkata, ketika COVID-19 melanda negara, tuntutan mencari rezeki bagi menyara keluarga tidak lagi mudah.
“Wanita berkenaan juga terpaksa bekerja sebagai juruwang dan dalam pada masa yang sama mengurus rumah tangga.
“Pengorbanan wanita itu wajar dihargai bagi memudahkan urusan orang ramai membeli keperluan asas dan sanggup meletakkan diri dalam risiko dijangkiti virus itu.
“Justeru, tanpa mengira bangsa dan agama, marilah kita saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya yang berharap kejadian seumpama itu tidak lagi berlaku.