PAHANG NAFI LAKSANA TEMCO
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menafikan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (Temco) di daerah ini, Pekan dan Bentong seperti yang ditularkan berikutan satu kes COVID-19 di sini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, berkata, Jawatankuasa Task Force COVID-19 Negeri Pahang sedang giat melaksanakan proses pengesanan kontak rapat dan sedang membuat penilaian risiko terhadap kes ini.
“Diharapkan orang ramai tidak menyebarkan berita palsu dan merujuk kepada saluran rasmi untuk maklumat yang tepat.
“Orang ramai perlu sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dengan mengamalkan penjarakan fizikal satu meter, memakai pelitup muka terutama semasa berada di tempat awam.
“Elakkan kawasan yang sesak, sempit dan elakkan bertutur atau bersembang dengan jarak yang dekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.